Hentikan segera penerbangan dari India - KKM | DagangNews Skip to main content

Hentikan segera penerbangan dari India - KKM

Adham Baba

Adham Baba.

 

 

KUALA LUMPUR 26 April - Kerajaan Malaysia dicadangkan untuk segera menghentikan penerbangan dari India.

 

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, langkah itu adalah untuk mengelak penularan varian mutasi berganda COVID-19 di negara ini.

 

"Cadangan ini akan dikemukakan dalam mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini.

 

"Ini suatu keputusan dasar yang amat penting dan kita mahu kerajaan ambil tindakan segera," katanya pada sidang media mingguan berhubung situasi COVID-19 di KKM seperti dilapor Bernama hari ini.

 

India merekodkan peningkatan jangkitan kes harian yang luar biasa hingga mencecah 200,000 kes.

 

Peningkatan purata kes baharu itu dikatakan berpunca daripada mutasi berganda tersebut.

 

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, pengembara yang pulang dari negara yang mempunyai penularan virus COVID-19 Varian Yang Membimbangkan (VOC) jenis baharu perlu menjalani tempoh kuarantin selama 14 hari.

 

Tempoh berkenaan adalah lebih lama berbanding 10 hari seperti yang dimaklumkan sebelum ini.

 

“Mereka wajib menjalani kuarantin di tempat yang digazetkan sahaja. Cadangan ini susulan kebimbangan sekiranya gejala daripada mutan ini muncul pada hari ke-10 atau ke-11.

 

"Kita ada dua opsyen, pengembara yang menaiki penerbangan terus dari negara VOC wajib menjalani kuarantin selama 14 hari, manakala bagi pengembara yang transit, tempoh kuarantin dikira pada hari mereka tiba di negara ini," tambah beliau lagi. - DagangNews.com