Hentikan sihir: Perkasakan undang-undang jenayah anti sihir | DagangNews Skip to main content

Hentikan sihir: Perkasakan undang-undang jenayah anti sihir

SANGAT mendukacitakan dan tidak terjangkau akal fikiran kita di dalam meniti arus kemodenan pada abad ke-21 ini, masih lagi ada segelintir manusia yang beragama Islam tegar mengamalkan perbuatan syirik dan khurafat yang amat ditegah di dalam agama iaitu sihir.

 

Orang yang skeptikal dan meragui kewujudan amalan sihir, usah menolak kerana segalanya berkemungkinan dan ia memang wujud dalam kalangan masyarakat.  

 

Hakikatnya, hubungan manusia dan sihir sudah terbentuk sejak zaman jahiliah dan era kerajaan Firaun. Amalan syirik seperti sihir dalam kalangan masyarakat masih tinggi dan buktinya sejumlah 44,000 pesakit berkaitan kerohanian termasuk akibat disihir mendapatkan rawatan di Pusat Rawatan Darussyifa. 

 

Bahkan ia menunjukkan, betapa sebahagian masyarakat Islam yang sesat, sanggup menggadaikan Tauhid atau Akidah demi menuntut atau mendapatkan cara pintas dengan menggunakan khidmat sihir bagi melunaskan tuntutan nafsu, dendam terhadap seseorang atau membinasakan pesaingnya. 

 

Lazimnya, sudah tentu, perantara bagi amalan sihir tidak terlepas daripada bantuan iblis, jin dan syaitan yang penuh tipu daya dan hasutan selain menyesatkan manusia yang lemah keimanannya leka, lalai dihanyut arus duniawi yang menyesatkan, mengorbankan paksi Tauhidnya dan akhirnya terpesong jauh. 

 

Hukum mengajar, mempelajari dan melakukan sihir adalah haram dan merupakan dosa besar.  Ditekankan dalam al-Quran, surah al-Baqarah ayat 102: “Dan tidaklah kedua-duanya mengajar seseorang sehinggalah mereka berkata sesungguhnya kami adalah cubaan (untuk menguji imanmu) maka janganlah engkau menjadi kufur dengan mempelajarinya,”

 

Menurut Pengasas Darussyifa, Allahyarham Datuk Dr Haron Din menyatakan bahawa amalan dan kebergantungan masyarakat terhadap amalan sihir masih tidak berkurangan walaupun mereka sudah hidup pada zaman moden dan berteknologi. 

 

Tambahan, golongan ini  terlalu rapuh pegangan iman dan jiwanya menyebabkan mereka mudah mempercayai perkara khurafat dan bergantung 'kuasa' makhluk lain selain daripada Allah SWT yang esa.


 

parafrasa

 


Jenis-jenis sihir

Menurut Pensyarah Kanan, Dr. Ahmad Izzuddin Abu Bakar dari Fakulti Pengajian Quran Dan Sunnah di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM),  sihir ditakrifkan oleh ibnu Qudaimah sebagai jampi serapah yang memberi kesan kepada hati dan perasaan serta tubuh badan. 

 

Perbuatan syirik ini boleh mendatangkan mudarat, menyakiti mangsa dengan penyakit, menganiaya, membunuh, memisahkan suami isteri dan lain-lain yang seumpama dengannya.

 

Sihir bermaksud 'sembunyi' sehinggakan penyihir akan membuatkan mangsa tidak mengetahui dirinya disihir.  Contohnya, ada individu tidak dapat melakukan pekerjaan selepas dinaikkan pangkat, sedangkan sebelum ini beliau fokus, komited dan cemerlang dalam menjalankan tugasnya. 

 

Amalan bentuk sihir yang keji dan tidak berperikemanusiaan serta tujuannya ialah untuk menyeksa, menyakiti, menyusahkan dan menghancurkan kehidupan mangsa adalah seperti sihir santau, sihir pemisah bagi pasangan suami isteri, sihir busung, sihir menutup rezeki, sihir penunduk, sihir pengasih, sihir pendarahan (wanita datang bulan tidak berhenti-henti), sihir memandulkan bagi kaum wanita dan lain-lain.

 

Dorongan kepada amalan syirik dan sihir

Pertama, kerana ingin mendapatkan kelebihan dan kuasa supaya individu ini dikenali ramai, digeruni, ditakuti seperti belajar ilmu kebal atau ilmu penunduk.

 

Ia biasanya terlalu taksub kepada duniawi dan pegangan akidahnya berjaya dipesongkan oleh iblis dan syaitan hingga terjerumus di dalam perkara haram atau dosa besar syirik iaitu menyekutukan Allah SWT.

 

 

parafrasa

 

 

Kedua, untuk kecantikan, kacak, kemegahan dan kelihatan menarik serta awet muda dengan cara memakai susuk.  Si pelaku yang sombong atau kufur nikmat ini adakalanya rasa tidak selamat dan tidak bersyukur atas segala nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT. 

 

Ketiga, ia bertujuan mendatangkan penderitaan dan kesakitan berpanjangan kepada individu yang disihir.  Orang yang berdengki ini tidak mahu sesuatu kelebihan dan kebaikan berada pada orang lain tetapi hanya tertumpu pada dirinya sendiri.

 

Pelaku yang ingkar dengan iman, berhati kotor serta biasanya didorong oleh perasaan hasad dengki, tercabar, benci serta dendam kepada seseorang dan dihasut oleh hasutan iblis.  Hasilnya, si pelaku menemukan jalan mudah yang menyimpang bagi menghilangkan kelebihan tersebut dengan menyihir.

 

Penyelesaian kepada permasalahan sihir

Anggapan terhadap perbuatan sihir yang didakwa sebagai isu sensitif, kolot atau tabu ini perlu diubah.  Kesedaran, tindakan pencegahan dan penyelesaian perlu dilaksanakan dengan sewajarnya. 

 

Manusia yang beragama Islam perlu sentiasa mempertingkatkan iman dan takwa kepada Allah SWT bukan sahaja takut pada balasan atau kifarah Allah SWT malah mengekang diri dari mengamalkan perbuatan yang berdosa besar dengan menzalimi dan menganiaya manusia lain. 

 

Sihir boleh berlaku kepada sesiapa sahaja dengan izin Allah SWT;  tidak kira manusia biasa bahkan yang berpangkat dan terkenal di dalam bidang yang diceburi.  Sejajar dengan pepatah `mencegah lebih baik dari merawat’.

 

Perkaitan antara sihir dan dengki juga dapat dilihat apabila Allah SWT menggesa kita sebagai manusia meminta perlindungan daripada kejahatan sihir dan pendengki di dalam dua ayat yang berturutan (Surah al-Falaq: 4-5)

 

 

parafrasa

 

 

Sehubungan itu, kita perlu cakna dan melindungi diri dengan sentiasa mendekatkan diri dengan Allah SWT iaitu menjaga solat lima waktu, sentiasa memohon perlindungan dari Allah SWT, menjaga perkara halal dan menjauhkan perkara yang  haram. 

 

Muhasabah diri dengan perbanyakan amalan yang baik seperti zikir, bermunajat dan berdoa meminta perlindungan Allah SWT dan beristiqamah dengan membaca ayat-ayat suci al-Quran. 

 

Ditekankan dalam al-Quran “Ia adalah dosa besar yang boleh terjerumus kepada kekufuran. Selain itu, Nabi SAW bersabda: “Sesiapa yang mendatangi bomoh lalu meminta sesuatu daripadanya, tidak diterima solatnya empat puluh hari” (Muslim: 2230). 

 

Pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) perlu lebih tegas di dalam memerangi, mencegah dan memantau perlakuan syirik daripada berleluasa termasuk menangkap tukang sihir yang mengiklankan tawaran perkhidmatan sihir di dalam media sosial. 

 

Pembabitan dan perlakuan ilmu hitam ini bukanlah isu asing lagi kerana kita sering sedia maklum dan melihat keluhan isu ini didedahkan di dalam perbincangan agama, forum Islam, rancangan Expose Mistik serta melalui ruangan laman sosial seperti Facebook, Twitter, forum, blog dan YouTube.

 

Paparan pameran perlu luas bagi mewujudkan kesedaran tentang implikasi bahayanya menzalimi manusia.  Penekanan akidah dan kesedaran di kalangan masyarakat perlu dilaksanakan melalui dialog atau diskusi di dalam majlis ilmu bersama ilmuwan Islam dan pakar-pakar pengamal perubatan Islam yang bertauliah. 

 

Perkongsian maklumat melalui kajian, pembentangan, penulisan atau penerbitan buku mengenai isu sihir perlu diperluaskan bagi memberi impak kesedaran serta peningkatan Tauhid dan iman kepada seluruh manusia. 

 

Sudah sampai masanya perlaksanaan hukuman perlu dikaji dan digubal oleh penguatkuasa agama, pelaksana, agamawan dan mendapat kerjasama dari pengamal perubatan Islam yang berdaftar kerana ia membabitkan alam ghaib. 

 

 

parafrasa

 

 

Penguatkuasaan undang-undang perlu dilaksanakan secara setimpal mengikut undang-undang Syariah bagi mendakwa pengamal ilmu hitam dan membanteras perlakuan jenayah sihir dengan berkesan. 

 

Ini bukan sahaja memberi kesedaran tetapi juga melindungi mangsa serta memastikan masyarakat hidup sejahtera, Adil, tenteram Tauhid dan akidahnya bebas dari perlakuan sihir yang haram.

 

Tuntasnya, individu yang mengamal ilmu sihir hendaklah segera bertaubat nasuha dan meninggalkan amalan yang ditegah agama Islam.   Perbuatan syirik dan khurafat ini jika dibiarkan berterusan lambat laun boleh meruntuhkan dan memecah-belahkan institusi sosial masyarakat Islam hari ini. 

 

Harus diingat; ia bukan sahaja bahaya dan membinasakan mangsa dengan mengakibatkan sakit, derita dan kematian malah memberi kesan jangka panjang iaitu kifarah (balasan) kepada pengamal sihir. 

 

Bak kata pepatah, terlajak perahu boleh diundur, terlajak perbuatan akan membinasakan diri, kelak jangan menyesal; senjata makan tuannya di kemudian hari.  Usah terjebak di dalam perlakuan sihir yang dilaknat ini.  Kita semua harus sedar bahawa kita meniti titian perjalanan di dunia yang sementara.  Harus di ingat akan perkara halal dan haram.  Buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali-kali.

 

“Dan jika Syaitan menganggu kamu dengan satu gangguan maka pohonlah perlindungan dari Allah SWT, maka sesungguhnya Dialah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”  (Surah Al-Fussilat ayat 36) – DagangNews.com