Hess Malaysia sumbang bantuan makanan kepada penduduk Pasir Linggi | DagangNews Skip to main content

Hess Malaysia sumbang bantuan makanan kepada penduduk Pasir Linggi

Sebahagian daripada masyarakat Orang Asli yang menerima program bantuan makanan Hess Malaysia di Kampung Pasir Linggi, Kelantan, baru-baru ini. - Gambar Hess Malaysia

 

KUALA LUMPUR 14 Julai – Hess Malaysia menyalurkan sumbangan terhadap keluarga kurang bernasib baik di Kelantan menerusi program bantuan makanan, hasil kerjasama dengan sebuah organisasi amal swasta MyKasih Foundation.

 

Di bawah program bantuan makanan ‘MyKasih Love My Neighbourhood’, Hess Malaysia telah menyumbang RM112,000 untuk membantu kira-kira 200 keluarga di Kampung Pasir Linggi, Kelantan membeli barangan keperluan untuk tempoh enam bulan.

 

Naib Presiden Hess Asia, Zhiyong Zhao berkata, pihaknya sedar barangan keperluan asas merupakan garis hayat kritikal bagi kebanyakan isi rumah yang terkesan oleh wabak COVID-19.

 

"Matlamat kami adalah untuk memberi kesan positif kepada komuniti di mana kami beroperasi dan penglibatan kami dalam program bantuan makanan ini diharap akan dapat  memberi sokongan kepada mereka pada masa yang sukar ini," katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

 

Di bawah program ini, penerima bantuan hanya perlu menggunakan MyKad untuk menerima elaun bulanan sebanyak RM80 untuk membeli barang keperluan asas seperti beras, roti, biskut, tepung dan minyak masak di kedai runcit. Para penerima ini merupakan dari isi rumah yang mempunyai tanggungan dan berpendapatan bulanan gabungan RM1,500 ke bawah.

 

Pengerusi dan Pengasas Bersama Yayasan MyKasih, Tan Sri Dr Ngau Boon Keat berkata, pihaknya sangat berterima kasih kepada Hess Malaysia atas sambutan terhadap kempen untuk membantu keluarga berpendapatan rendah semasa wabak ini.

 

Menurutnya, penerima MyKasih ini mendapat sumbangan tanpa tunai sepenuhnya menggunakan MyKad mereka dan mereka boleh memilih barang makanan yang perlu dibeli untuk keluarga mereka.

 

"Kami berharap syarikat-syarikat lain akan mendapat inspirasi dari Hess Malaysia dan menggunakan platform pengagihan kebajikan tanpa tunai kami yang ditawarkan tanpa kos supaya penerima mendapat manfaat yang sebanyak mungkin tanpa interaksi yang banyak ketika wabak,” kata .

 

Penggunaan sistem pembayaran tanpa tunai menggunakan teknologi cip MyKad ini mampu memastikan bantuan kebajikan disalurkan kepada penerima yang betul secara cekap, telus dan selamat sambil mengurangkan risiko dan cabaran dalam menguruskan logistik bantuan makanan ini semasa wabak.

 

Inisiatif terbaru ini adalah lanjutan dari sokongan Hess Malaysia terhadap Skim Dermasiswa MyKasih ‘Love My School’ di Kelantan, yang bertujuan untuk membantu pelajar yang kurang bernasib baik mendapat pendidikan berkualiti dan membina kehidupan yang lebih baik untuk keluarga mereka.

 

Program yang dimulakan pada tahun 2020 itu telah memberi manfaat kepada hampir 100 pelajar sekolah rendah dari komuniti Orang Asli di Gua Musang. - DagangNews.com