Hextar Global fokus kepada perniagaan bahan kimia, lupus dua syarikat produk pengguna | DagangNews Skip to main content

Hextar Global fokus kepada perniagaan bahan kimia, lupus dua syarikat produk pengguna

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 16 Mei - Hextar Global Bhd mengumumkan pemeteraian tiga perjanjian berasingan yang membolehkan kumpulan itu memperoleh perniagaan perdagangan kimia dan pada masa sama melepaskan keseluruhan kepentingan dalam segmen produk penggunanya.

 

Langkah itu antara lain bertujuan menyelaraskan lagi operasi kumpulan untuk memberi tumpuan kepada perniagaan bahan kimia terasnya.

 

Menerusi cadangan pengambilalihan itu, Hextar Global telah memeterai perjanjian penjualan saham dengan pihak berkaitan Hextar Holdings Sdn Bhd (HHSB) untuk mengambil alih keseluruhan pegangan dalam Hextar Industrial Chemicals Sdn Bhd (HICSB) untuk RM10 juta dalam bentuk tunai.

 

HHSB merupakan pemegang saham terbesar Hextar Global, dengan pegangan saham sebanyak 62.49%. Pertimbangan tunai itu akan dibiayai melalui dana yang dijana secara dalaman, kata Hextar Global.

 

HICSB bermula dalam perniagaan perdagangan bahan kimia industri pada 2009 dengan ia membekalkan bahan kimia kepada pelbagai industri seperti makanan, farmaseutikal, plastik, salutan, polivinil klorida (PVC), penjagaan diri, getah, pelekat dan lain-lain.

 

"Cadangan pengambilalihan itu bertujuan untuk memperbesar penyertaannya dalam industri kimia khusus. 

 

"Dengan mempelbagaikan aliran pendapatannya, Hextar Global akan dapat mengembangkan potensinya untuk mencapai pertumbuhan yang mampan," katanya.

 

Hextar Global melupuskan keseluruhan kepentingan dua syarikat di bawah segmen produk pengguna dengan tunai RM3.5 juta. Ini akan menyebabkan kumpulan itu keluar dari segmen produk pengguna.

 

Kedua-dua syarikat itu ialah Halex Woolton (M) Sdn Bhd dan Halex Marketing Sdn Bhd. Kedua-dua syarikat ini akan dilupuskan kepada pihak bukan berkaitan iaitu Vinayaka Capital Sdn Bhd.

 

"Segmen produk pengguna terlibat dalam pembuatan dan pengedaran produk penjagaan kesihatan pakai buang seperti tisu basah, tisu dan produk berasaskan kapas.

 

"Segmen itu yang mempunyai kemudahan pembuatan di Kawasan Perindustrian Tampoi, Johor Baru, mencatatkan kerugian berikutan persaingan sengit daripada pengeluar asing dan peningkatan kos bahan mentah.

 

"Cadangan pelupusan itu dijangka tidak mempunyai sebarang kesan besar ke atas prestasi kewangannya, memandangkan segmen itu bukan teras kepada aktiviti perniagaan Hextar Global," katanya. - DagangNews.com