Hextar Industries ambil alih firma bekalan pejabat bernilai RM16.5 juta | DagangNews Skip to main content

Hextar Industries ambil alih firma bekalan pejabat bernilai RM16.5 juta

KUALA LUMPUR 6 Sept - Hextar Industries Bhd mengambil alih firma bekalan pejabat, Pacific Office (M) Sdn Bhd bernilai RM16.5 juta.

 

Dalam satu kenyataan media semalam, kumpulan itu berkata ia telah menandatangani perjanjian penjualan saham dengan pemegang saham Pacific Office untuk membeli 100% kepentingan ekuiti dalam firma itu, yang dijangka selesai pada suku keempat tahun ini.

 

Mengulas rasional pengambilalihan tersebut, Pengarah Urusan Kumpulan, Benny Ang berkata Pacific Office mempunyai pengalaman selama 33 tahun sebagai pemain terkemuka dalam perniagaan alat tulis dan bekalan pejabat.

 

“Ia mempunyai pangkalan data pelanggan yang sangat luas di seluruh negara yang akan membawa nilai tambah dan bersinergi dengan perniagaan sedia ada HIB.

 

“Ia mempunyai pangkalan data besar dengan lebih daripada 3,500 pelanggan aktif, yang kaya dengan maklumat perniagaan untuk kami memanfaatkannya bagi maju jauh ke hadapan dalam pasaran,” tambahnya.

 

Hextar Industries, yang merancang untuk memindahkan penyenaraiannya dari Pasaran ACE ke Pasaran Utama Bursa Malaysia, terlibat dalam perniagaan pembuatan dan perdagangan pelbagai baja, selain menyediakan rumusan pengurusan tanaman.

 

Kumpulan itu juga membekalkan pelbagai produk industri termasuk jentera, alat ganti, tali pinggang penghantar, forklift, bateri industri dan lampu.

 

Pada waktu penulisan, saham Hextar Industries, yang jatuh 43% setakat tahun ini, telah menokok 0.5 sen atau 1.1% kepada 44.5 sen, menilai permodalan pasarannya pada RM1.2 bilion. - DagangNews.com