Hiap Teck optimis terhadap prospek pendapatan didorong perkembangan positif di China - HLIB | DagangNews Skip to main content

Hiap Teck optimis terhadap prospek pendapatan didorong perkembangan positif di China - HLIB

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Jan - Hiap Teck Venture Berhad optimis terhadap prospek pendapatannya didorong oleh perkembangan positif di China yang berjaya meningkatkan sentimen permintaan bagi produk keluli dan penurunan harga arang kok.

 

Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research berkata, kumpulan itu juga optimis peningkatan kos inventori akan berakhir pada 1QFY23 dan menjadikan kos pengeluaran yang lebih rendah bermula 2QFY23.

 

"Selain itu, pihak pengurusan optimis bahawa harga arang batu akan terus menjadi lebih baik pada bulan-bulan akan datang (yang seterusnya akan menghasilkan penjimatan kos daripada penggunaan loji kok), berikutan ketersediaan arang kok yang lebih baik," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, Eastern Steel Sdn. Bhd. (ESSB) 27.3% milik Hiap Teck kini menjalankan kesemua empat loji kok, kerana harga antara arang kok dan kok telah mula melebar sejak November 2022.

 

"Pengurusan optimis bahawa harga arang kok akan terus melebar dalam beberapa bulan akan datang (yang seterusnya akan menghasilkan penjimatan kos daripada penggunaan loji kok), berikutan ketersediaan arang kok yang lebih baik.

 

"Selain itu, keputusan kerajaan China baru-baru ini untuk membenarkan tiga utiliti yang disokong kerajaan pusat dan pembuat keluli terkemukanya - buat pertama kali sejak Beijing mengenakan larangan tidak rasmi terhadap perdagangan arang batu dengan Australia pada 2020 - telah menghidupkan semula harapan bahawa negara itu akan menarik balik larangannya terhadap import arang batu Australia.

 

"Jika ini menjadi kenyataan, ini akan membolehkan arang batu kok Australia memasuki China, mengurangkan bekalan dan harga arang batu kok, sekali gus mengurangkan kos pembuatan keluli," tambahnya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' ke atas Hiap Teck, dengan harga sasaran (TP) tidak berubah sebanyak 33 sen. - DagangNews.com