Hibiscus Petroleum jelaskan tiada kelulusan penyenaraian syarikat untuk tujuan khas | DagangNews Skip to main content

Hibiscus Petroleum jelaskan tiada kelulusan penyenaraian syarikat untuk tujuan khas

KUALA LUMPUR 14 April - Hibiscus Petroleum Berhad menjelaskan bahawa tiada kelulusan daripada Lembaga Pengarah yang diperoleh untuk mengemukakan kepada mana-mana bursa saham untuk penyenaraian syarikat pemerolehan tujuan khas (SPAC).

 

Menurut syarikat cari gali dan pengeluaran minyak dan gas itu, pihaknya tidak memberi mandat atau melantik mana-mana penasihat atau bank pelaburan untuk membuat sebarang pengemukaan untuk penyenaraian itu.

 

"Sejajar dengan standard syarikat yang ketat, Lembaga Pengarah dan pengurusan hanya akan mencadangkan mana-mana langkah sedemikian jika dianggap untuk kepentingan terbaik pemegang sahamnya," katanya dalam satu kenyataan Bursa Malaysia hari ini.

 

Syarikat menjelaskan mengenai laporan Bloomberg bertajuk "Malaysia's Hibiscus Explores Singapore SPAC Listing" yang disiarkan pada Rabu.

 

Hibiscus berkata, jika pihaknya memilih untuk menjalankan sebarang langkah korporat yang penting, semua kelulusan dalaman akan diperoleh sebelum pendedahan yang bersesuaian dikeluarkan.

 

"Syarikat terus mengkaji idea-idea yang inovatif dan pelbagai pilihan strategik yang akan meningkatkan nilai pemegang saham," katanya, lapor Bernama.

 

Hibiscus berkata, Bloomberg ada menghubungi mereka untuk mendapatkan ulasan mengenai artikel berkenaan dan menjelaskan bahawa mereka sudah memberikan kenyataan kepada syarikat itu namun hanya sebahagian sahaja yang digunakan.

 

"Di Hibiscus Petroleum, kami sentiasa memikirkan kaedah untuk meningkatkan nilai kepada pemegang saham dan pasa masa sama meletakkan syarikat secara positif untuk masa depan dengan dunia akan beralih kepada campuran tenaga pemancar karbon yang lebih rendah. 

 

"Ia juga sebagai sebahagian daripada strategi peralihan tenaga jangka panjang ini, kami sedang melihat semua bentuk struktur pembiayaan.

 

"Bagaimanapun, masih belum ada sebarang keputusan khusus dalam bidang ini dan kami akan terus mencari ruang bagi memainkan peranan penting dalam proses perubahan tenaga dan mengukuhkan daya tahan portfolio aset hidrokarbon dan nyahkarbon yang boleh dilaksanakan bagi operasi huluan kami," katanya. - DagangNews.com