Hibiscus Petroleum terima persetujuan daripada NSTA bagi kerja pembangunan, pengeluaran lapangan Teal West | DagangNews Skip to main content

Hibiscus Petroleum terima persetujuan daripada NSTA bagi kerja pembangunan, pengeluaran lapangan Teal West

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Ogos - Anak syarikat Hibiscus Petroleum Berhad, Anasuria Hibiscus UK Limited telah menerima persetujuan kerja pembangunan dan pengeluaran bagi pelan pembangunan lapangan (FDP) untuk medan Teal West daripada Pihak Berkuasa Peralihan Laut Utara (NSTA) pada 1 Ogos 2023.

 

Peringkat seterusnya selepas kelulusan FDP ialah keputusan pelaburan akhir dalaman, yang jika dicapai, akan menghasilkan minyak pertama dari medan Teal West yang dijangka menjelang lewat 2024 ayau pada awal 2025.

 

Kelulusan FDP adalah berikutan persetujuan tanpa syarat untuk Penyata Alam Sekitar yang diterima pada 7 Julai 2023.

 

NSTA merupakan pihak berkuasa United Kingdom (UK) yang mengawal selia industri penyimpanan minyak, gas dan karbon di UK.

 

"Keizinan yang diberikan adalah tertakluk kepada pematuhan dengan FDP yang dikemukakan dan keperluan standard untuk mendapatkan kelulusan tambahan sekiranya terdapat sebarang pembangunan tambahan yang dicadangkan semasa menjalankan kerja-kerja tersebut," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Pelan pembangunan asas untuk medan Teal West adalah untuk menggerudi telaga pengeluar minyak ke tenggara struktur geologi, diikuti dengan menggerudi telaga penyuntik air di sebelah barat struktur yang sama (dengan penyuntik air yang akan digerudi kira-kira 12 hingga 18 bulan selepas minyak pertama).

 

Medan Teal West akan dihasilkan ke Anasuria FPSO, tempat cecair telaga akan diproses dan dieksport melalui infrastruktur Anasuria. - DagangNews.com