Oleh NABILA YASMIN RAZIB
KUALA LUMPUR 27 Sept. - Pengoperasian semula industri pembinaan adalah satu perkara yang penting bagi menghidupkan semula ekonomi negara yang telah lama terjejas ekoran pandemik COVID-19.
Malacca Securities Sdn Bhd berkata, memandangkan kerajaan masih lagi menguatkuasakan larangan perjalanan antarabangsa, pihaknya menjangkakan lebih banyak kerja-kerja infrastruktur akan dapat dilihat dalam pembentangan Belanjawan 2022 yang akan dibentangkan Oktober depan.
"Langkah ini (menghidupkan semula industri pembinaan) semestinya akan memulakan ekonomi sekurang-kurangnya untuk pasaran domestik.
"Ia juga secara tidak langsung akan memberi kesan positif terhadan segmen bahan binaan yang merupakan proksi kepada sektor pembinaan," katanya dalam nota kajian di sini hari ini.
Sejak 1.5 tahun kebelakangan ini, Malaysia telah mengeluarkan pakej rangsangan bernilai sekitar RM380 bilion untuk menyokong ekonomi.
Namun, untuk menghidupkan semula ekonomi sepenuhnya, firma itu berpendapat kerajaan perlu menyediakan lebih banyak pakej rangsangan dalam Belanjawan 2022 yang akan datang.
Selain itu Malacca Securities berkata, pelancongan domestik juga akan menjadi penyumbang signifikan bagi pemulihan ekonomi negara sementara menunggu pembukaan laluan antarabangsa.
"Dengan projek percubaan gelembung pelancongan Langkawi yang diperkenalkan baru-baru ini, kita dapat melihat banyak perbelanjaan dibuat dan itu seharusnya menjadi pemangkin yang baik untuk pelancongan, penerbangan dan saham yang berkaitan dengan pengguna," ujarnya.
Firma penganalis itu juga berkata, biarpun ekonomi negara menguncup pada tahun 2020, pihaknya berpendapat Malaysia sedang berada di landasan yang betul bagi proses pemulihan.
"Dengan lebih 80% populasi dewasa Malaysia telah divaksin, ia amat berguna bagi perniagaan untuk memulakan semula operasi masing-masing dalam keadaan yang selesa sekali gus dapat merangsang semula aktiviti ekonomi dengan lebih meluas seterusnya mengembalikan kehidupan normal pada 2022," katanya. -DagangNews.com