Hiredly umum 5 lantikan lembaga pengarah dan pengurusan baharu | DagangNews Skip to main content

Hiredly umum 5 lantikan lembaga pengarah dan pengurusan baharu

(Dari kiri) Derek Toh, Adeline Wong, Joann Teoh, Yu Jing Ying dan Keith Leong.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 5 Sept - Hiredly mengumumkan beberapa lantikan baharu dalam lembaga pengarah dan pasukan pengurusan syarikat bagi mengemudi syarikat ke tahap yang lebih tinggi. 

 

Lantikan baharu tersebut terdiri daripada, Ahli Lembaga Penasihat, Andrea Ross; Naib Presiden Kewangan, Yu Jing Ying; Pengarah Jualan, Keith Leong; Ketua Pasukan Hiredly X, Adeline Wong dan Pengurus Budaya dan Insan, Joann Teoh.

 

Sebagai Pengarah Urusan Serantau Robert Walters untuk Singapura, Malaysia dan Vietnam, Andrea bertanggungjawab memperkembangkan perniagaan syarikat sehingga menyumbang kepada kejayaan syarikat di Asia Tenggara. 

 

Kini, bersama Hiredly, Ross akan menyokong penerokaan idea-idea perniagaan baru, menukar kaedah dan pendekatan sedia ada dan mencari peluang untuk syarikat berkembang.

 

“Saya mengikuti perkembangan Hiredly selama ini dan sekarang saya berpeluang untuk menasihati mereka dalam isu-isu strategik dan risiko yang akan dihadapi syarikat pada masa depan. 

 

"Selepas berada dalam industri selama lebih 20 tahun, Hiredly kini berada di kedudukan lebih kukuh untuk mencapai matlamat-matlamat strategiknya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Jing Ying berpengalaman memikul beberapa tanggungjawab berkaitan kewangan sebelum ini dengan jawatan terakhir sebagai Ketua Pelaporan Pengurusan di Maybank. Sebelum itu, beliau merupakan Pengurus Kanan Kewangan di HSBC dan juga merupakan Juruaudit di PWC China dan KPMG Malaysia. 

 

Pada Jun lalu, Pengarah Jualan yang baru dilantik, Keith Leong dipertanggungjawabkan untuk membantu Hiredly mencapai perkembangan lanjutan serantau. 

 

Sebelum ini, Leong merupakan Pengurus Serantau Negara Lexmark untuk Malaysia, Indonesia dan Brunei serta Pengurus Besar Toshiba TEC untuk Malaysia dan Thailand. Leong kini menerajui Jualan Dalaman dan Korporat Hiredly serta Pasukan Hiredly X yang merupakan cabang pengambilan pekerjaan Hiredly dengan matlamat untuk menaikkan standard syarikat dalam aspek strategi jualan.

 

Selain itu, Adeline yang dilantik sebagai Ketua Pasukan Hiredly X bermula Julai, akan menguruskan pasukan Perakaunan dan Kewangan. Beliau sebelum ini bertanggungjawab melakukan pencarian eksekutif bagi syarikat telekomunikasi, DiGi dan salah satu daripada empat firma terbesar perakaunan, PWC. 

 

Beliau juga berpengalaman sebagai Perunding Kanan di Robert Walters, yang bertanggungjawab terhadap operasi dan kewangan perbankan. Pengalamannya pada peringkat agensi dan secara dalaman akan memberikan Hiredly kelebihan untuk menarik klien-klien korporat yang lebih besar.

 

Sementara itu, Teoh merancang untuk menyediakan persekitaran pekerjaan yang inovatif dan kolaboratif bagi memupuk rasa kekitaan dan kebersamaan di tempat kerja. Sebelum ini, beliau memikul peranan strategik di bahagian Maxis Enterprise dan menerajui beberapa inisiatif strategik merentasi teras perniagaan berbeza selaras dengan pelan perkembangan syarikat. 

 

Sebelum itu, Teoh merupakan perunding pencarian eksekutif di Robert Walters. Beliau amat memahami trend dalam pengambilan pekerjaan dan bakat-bakat unik yang menggabungkan kepakaran teknikal dan kemahiran perniagaan untuk mengembangkan perniagaan.

 

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Hiredly, Derek Toh berkata, beliau bersyukur dan berbesar hati dengan penyertaan sekumpulan pemimpin berkualiti tinggi menyertai misi Hiredly untuk membantu orang ramai mencari tempat kerja yang sesuai dan membawa Hiredly ke tahap yang lebih tinggi.

 

“Setiap syarikat permulaan melalui fasa-fasa perkembangan yang berbeza. Hiredly kini selangkah lebih dekat dengan matlamat kami untuk memberikan impak yang besar di seluruh pelusuk rantau dengan membangunkan pasukan yang arif dalam memimpin dan mengembangkan syarikat untuk beroperasi dengan lebih luas di serata Asia Tenggara,” katanya. - DagangNews.com