HLIB jangka adex meningkat bagi 2H22 didorong penganjuran Piala Dunia | DagangNews Skip to main content

HLIB jangka adex meningkat bagi 2H22 didorong penganjuran Piala Dunia

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 Julai - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research mengekalkan saranan 'overweight' terhadap sektor media bagi 2H22.

 

Firma itu juga positif dengan sektor itu terutama selepas pembukaan semula aktiviti ekonomi dan pemulihan perbelanjaan pengiklanan (adex) sekiranya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) berlaku lebih awal dan Piala Dunia FIFA.

 

Katanya, ketiga-tiga saham syarikat yang berada di bawah liputannya telah merosot antara 18.3% hingga 42% berbanding harga tertinggi mereka pada Mac 2022.

 

Astro Media Holdings Berhad dan Media Prima Berhad telah mengunjurkan hasil dividen masing-masing sebanyak 8.4% dan 9.2% manakala Star Media Group Berhad kini berada pada kedudukan tunai bersih RM346.1 juta.

 

"Pelbagai inisiatif sudah dilakukan sejak beberapa tahun lalu membuatkan syarikat media memiliki struktur kos yang lebih berkesan sekali gua membantu trajektori pendapatan mereka.

 

"Berdasarkan kepada pasaran yang tidak menentu,hasil dividen Astro dan Media Prima dijangka memberikan sokongan kepada penurunan harga saham," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, adex 2022 dijangka meningkat pada 2H22 didorong oleh Piala Dunia FIFA yang akan berlangsung bermula 21 November hingga 18 Disember 2022 dan kemungkinan berlaku PRU-15 lebih awal.

 

"Gergasi e-dagang seperti Lazada dan Shopee telah memperuntukkan sebahagian daripada belanjawan pengiklanan mereka ke arah saluran pengiklanan yang lebih tradisional seperti FTA TV.

 

"Ini merupakan satu kelebihan kepada prospek adex kerana acara jualan mega (10/10, 11/11, 12/12) semakin popular dan mereka mengiklankan acara jualan ini pada masa utama selain mengatur rancangan langsung khas dalam kerjasama dengan selebriti untuk mempromosikan acara ini,” katanya. - DagangNews.com