KUALA LUMPUR 24 Mac - Hong Leong Investment Bank Research menjangkakan pembangunan Automative High-Technology Valley (AHTV) bernilai RM32 bilion di Tanjung Malim, Perak dijangka membantu DRB Hicom menarik lebih banyak pelaburan dalam sektor pembuatan berteknologi tinggi selain pada masa akan datang.
Firma penyelidkan itu juga berkata, pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) akan membantu melengkapkan proses pembangunan untuk Proton bagi jangka masa panjang.
Katanya, pelaburan itu bukan sahaja darang daripada anak-anak syarikat DRB-Hicom tetapi juga daripada rakan kongsi yang berpotensi, vendor dan pelabur luar.
"Pelaburan ini akan melibatkan pembangunan bandar, perbelanjaan infrastruktur dan kemudahan untuk menjadikan Proton City sebagai Hab Automotif Pintar bagi kenderaan elektrik (EV) dan digital, termasuk kemudahan R&D untuk mengkaji rantaian nilai EV yang sesuai dalam iklim tropika," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Sementara itu, Proton berjaya berjaya bangkit pada 4QFY21 dengan mencatatkan keuntungan operasi sebelum cukai (OPBT) kepada RM245.9 juta untuk segmen automotif berbanding RM135.2 juta pada 4QFY20 dan ia oleh penjualan 40,500 unit kerata pada suku itu iaitu peningkatan 15.7% dari tahun ke tahun.
Katanya, pengurusan menjangkakan margin OPBT keseluruhan akan kekal pada FY22 dengan sookongan penjualan model Proton.
Firma penyelidikan itu berkata, Proton menetapkan sasaran jualan antara 136,000 hingga 150,000 unit kenderaan untuk FY22 merangkumi jumlah eksport yang didorong oleh permintaan tinggi di Pakistan selain akan meningkatkan pengeluaran untuk memenuhi permintaan tertunggak sebanyak 60,000 unit.
"Proton juga berjaya mendapatkan bekalan mikrocip yang mencukupi untuk memenuhi permintaan dengan model baharu akan dilancarkan pada FY23 bagi memberi fokus kepada permintaan yang tinggi serta mengelesaikan situasi gangguan rantaian bekalan.
"Selepas melihat perkembangan pesar EV, Proton berkemungkinan akan terus meneroka segmen itu menjelang 2027," katanya.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saran 'beli' untuk saham DRB-Hicom dengan sasaran harga (TP) tidak berubah RM2.30.
"Kami kekal positif terhadap masa hadapan DRB beradasrkan kepada jualan automotif yang kukuh dengan memanfaatkan pengecualian SST dan barisan model yang menarik daripada Proton," katanya. - DagangNews.com