HLIB jangka harga minyak kekal tinggi pada 2H22 | DagangNews Skip to main content

HLIB jangka harga minyak kekal tinggi pada 2H22

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 Julai - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research mengekalkan saranan 'overweight' terhadap sektor minyak dan gas selain menjangkakan harga minyak akan kekal tinggi pada 2H22.

 

Pada masa sama, firma itu turut menjangkakan berlaku peningkatan permintaan dan bekalan dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

 

"Peningkatan permintaan itu didorong oleh kelonggaran sekatan di China, kehadiran musim panas dan pemulihan bahan api jet. 

 

"Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC+) dan Amerika Syarikat (AS) juga membuat keputusan untuk meningkatkan penghasilan selain melepaskan rizabnya untuk menangkis defisit bekalan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu mengunjurkan harga minyak mentah Brent akan berada pada paras AS$100-110 (RM442-486) setong untuk 2022.

 

"Sementara itu, Petronas telah mengumumkan bahawa ia akan meningkatkan perbelanjaan modalnya pada 2022 kepada RM60 bilion dan ia merupakan petanda baik bagi sektor minyak dan gas tempatan kerana kebanyakan penyedia perkhidmatan tersenarai dalam OGSE sangat bergantung kepada Petronas sebagai pelanggan utama.

 

"Kami mengekalkan saranan 'overweight' bagi sektor ini dan memilih Dagang NeXchange Berhad (beli; TP: RM1.69), Bumi Armada Berhad (beli; TP: RM0.84) and Dialog Group Berhad (beli; TP: RM3.32) sebagai pilihan utama," katanya. - DagangNews.com