HLIB jangka Homeritz kekal momentum pendapatan walaupun berdepan kenaikan kos | DagangNews Skip to main content

HLIB jangka Homeritz kekal momentum pendapatan walaupun berdepan kenaikan kos

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR


KUALA LUMPUR 3 Ogos - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research menjangkakan pendapatan Homeritz Corporation Berhad kekal stabil pada suku akan datang walaupun berdepan kenaikan kos bahan mentah, kekurangan kontena dan penutupan sesetengah daerah di China.

 

Firma itu menjangkakan tempahan kumpulan itu kukuh dengan kadar pertukaran dolar Amerika Syarikat (AS) kepada ringgit semasa yang menggalakkan untuk terus menyumbang kepada pendapatannya.

 

"Selepas mengambil kira kedudukan tunainya yang sihat iaitu pada paras RM104 juta, terdapat potensi peningkatan pembayaran dividen bagi FY22," katanya dalam satu nota kajian.

 

Firma itu berkata, untung bersih Homeritz sebanyak RM9.7 juta pada 2QFY22 merupakan pendapatan teras suku tahunan tertinggi syarikat berada di luar jangkaan.

 

Keputusan itu disebabkan oleh jumlah jualan yang lebih tinggi daripada jangkaan serta pengukuhan dolar AS.

 

"Kami meningkatkan unjuran pendapatan sebanyak 8.9% dan 9.1% untuk FY22 dan FY23 selepas mengambil kira jumlah jualan yang kukuh kesan daripada perancangan serta kecekapan pengeluaran syarikat," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan sasaran harga (TP) lebih tinggi iaitu 89 sen.

 

Firma itu menyukai Homeritz kerana kedudukannya sebagai pengeluar reka bentuk asal (ODM) yang membolehkannya menahan tekanan kos dan menguasai margin keuntungan yang lebih baik.

 

"Kilang baharunya dan kecekapan pengeluaran yang lebih baik ditambah dengan permohonan untuk lebih ramai pekerja asing seharusnya meningkatkan jumlah pengeluaran pada suku tahun akan datang," katanya. - DagangNews.com