KUALA LUMPUR 2 Julai - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research menjangkakan Panasonic Manufacturing Malaysia Bhd mencatatkan pertumbuhan perlahan bagi FY25 kesan penggunaan kilang yang rendah akibat penamatan pengeluaran peralatan dapur.
Katanya, pemberhentian pengeluaran peralatan dapur itu menyebabkan pendapatan kumpulan berkurangan sebanyak RM75.9 juta pada FY24.
Firma penyelidikan itu berkata, dilaporkan bahawa segmen itu menyumbang purata 9% kepada hasil kumpulan pada separuh kedua 2022 dan 13% pada FY24.
"Bagi menggantikan produk itu, kumpulan itu memperkenalkan barisan produk baharu berkaitan air. Panasonic adalah yang pertama menceburi produk pengoksidaan air di rantau ini bersama-sama pengeluar dari Indonesia.
"Kami berpendapat Panasonic berpotensi mendapat manfaat daripada perbelanjaan lebih tinggi daripada pengeluaran Akaun 3 KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) dan kenaikan gaji kakitangan awam.
"Selain itu, penyederhanaan harga bahan mentah juga membantu mengurangkan kesan jualan yang lebih rendah," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
HLIB menjangkakan kilang pengeluaran syarikat itu akan kurang digunakan untuk beberapa tahun akan datang kerana pengeluaran masih di peringkat awal dengan hanya 30% daripada loji SA2 digunakan.
Katanya, usahasama kumpulan itu ke dalam produk berkaitan air mungkin tidak dapat mengimbangi sepenuhnya penurunan hasil sumbangan peralatan dapur.
Selain itu, harga untuk produk ditetapkan adalah lebih tinggi daripada pesaingnya, yang mungkin menghalang usaha untuk mendapatkan bahagian pasaran.
Dari segi eksport, firma penyelidikan itu berpendapat bahawa unjuran Panasonic lebih perlahan disebabkan oleh pertumbuhan global yang sederhana, ketegangan geopolitik yang meningkat dan pemulihan ekonomi yang lebih perlahan daripada jangkaan dari China.
"Kami mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran RM20.02 sesaham," katanya. - DagangNews.com