HLIB kekal saranan 'Beli' SunCon dengan harga sasaran RM1.77 | DagangNews Skip to main content

HLIB kekal saranan 'Beli' SunCon dengan harga sasaran RM1.77

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 28 Dis - Hong Leong Investment Bank Research (HLIB) mengekalkan panggilan 'Beli' ke atas Sunway Construction Group Bhd (SunCon) dengan harga sasaran (TP) yang lebih tinggi sebanyak RM1.77 berikutan kemenangan kontrak terbarunya bernilai RM385 juta.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pihaknya percaya kontrak baharu itu juga telah menyumbang secukupnya untuk kos bahan yang tinggi sepanjang 2021 dengan kenaikan margin sekiranya harga lemah. 

 

"HLIB turut menaikkan unjuran pendapatan FY22-23 SunCon sebanyak 1.6% dan 1.3% selepas mengambil kira perolehan kontak baru tersebut," katanya dalam nota penyelidikannya di sini hari ini.

 

SunCon mengumumkan telah menerima 2 surat hasrat (LOI) bagi menjalankan kerja-kerja berkaitan kemudahan jana kuasa tenaga solar fotovoltaik (PV) di bawah program tenaga solar berskala besar 4 (LSS4) berjumlah RM385 juta. 

 

Dalam makluman di Bursa Malaysia semalam kumpulan itu berkata, ia menerima LOI pertama daripada GBS Suria Sdn. Bhd., anak syarikat milik penuh Gopeng Bhd. bagi kerja-kerja berkaitan reka bentuk, kejuruteraan, perolehan, pembinaan, pengujuain dan pentaulihan kemudahan jana kuasa kuasa yang dilengkapi dengan peralatan dan kemudahan sampingan. 

 

Katanya, kemudahan jana kuasa ini dengan kapasiti 50MW terletak di Mukim Teja, Kampar, Perak membabitkan kontrak bernilai RM200 juta. 

 

LOI kedua pula dikeluarkan Sharp Ventures Solar Sdn. Bhd. bagi kerja pembinaan kemudahan jana kuasa tenaga solar PV di Mukim Kapar, Klang, Selangor berjumlah RM185 juta. 

 

Kontrak bagi projek ini membabitkan kerja-kerja mereka bentuk, kejuruteraan, perolehan, pembinaan, pengujian dan pentauliahan kemudahan yang mempunyai kapasiti 50MW ini.

 

"Kemenangan itu menjadikan jumlah pesanan kepada RM1.47bilion mengatasi andaian sedia ada kami sebanyak RM1.2 bilion yang didayakan oleh semakan menurun baru-baru ini. 

 

“Termasuk tempahan baharu, jumlah buku pesanan meningkat kepada RM5.3 bilion mewakili 3.4x ganda hasil FY20,” kata HLIB.  -DagangNews.com