KUALA LUMPUR 14 April - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research mengekalkan saranan 'beli' untuk Bursa Malaysia pada harga sasaran (TP) lebih tinggi RM7.95 berbanding RM7.27 selepas mengambil kira purata dagangan harian (ADV) sekuriti pada 1Q22 sebanyak RM2.6 bilion.
Firma penyelidikan itu berkata, Bursa juga dijangka mencatatkan pendapatan suku tahunan sebanyak RM68 juta apabila keputusan kewangan dikeluarkan pada 28 April 2022.
"Kami kekal berpendapat bahawa Bursa akan terus menjadi penerima manfaat pada Pilihan Raya Umum 15 (PRU-15) kerana PRU sebelum ini menunjukkan impak positif kepada ADV dari segi tahun ke tahun dan bulan ke bulan.
"Selepas mengambil kira kemungkinan PRU-15 akan diadakan lebih awal, kami percaya para pelabur akan tertumpu kepada Bursa.
"Kami menaikkan TP kami kepada RM7.95 berbanding RM7.27 kerana kami menyukai Bursa kerana tidak terlibat dengan mana-mana pihak dalam parti politik di dalam pilihan raya," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma penyelidikan itu menjangkakan, pendapatan Bursa bagi 1Q22 adalah sekitar RM68 juta menjadikan 27% daripada jumlah unjuran penuh bagi tempoh setahun.
Walaupun terdapat kenaikan daripada suku ke suku dalam purata kontrak harian (ADC), katanya, impak garis bawah akan berkurangan sebahagiannya akibat hari dagangan yang kurang (61 berbanding 63)
"Dari segi tahun ke tahun, penurunan yang tinggi (-43.7%) bagaimanapun sudah dijangka berdasarkan kepada asas luar biasa dalam SPLY (ADV suku tahun kedua adalah lebih kuat) akibat pemulihan ekonomi global akibat pemberian vaksin yang meningkatkan dagangan," katanya. - DagangNews.com