HLIB kekal saranan 'beli' untuk Sunway Group didorong perkembangan pantas segmen penjagaan kesihatan | DagangNews Skip to main content

HLIB kekal saranan 'beli' untuk Sunway Group didorong perkembangan pantas segmen penjagaan kesihatan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 April - Hong Leong Investment Bank Research mengekalkan saranan 'beli' untuk saham Sunway Group pada harga sasaran (TP) RM2.58 selepas mengambil kira kepelbagaian perniagaan termasuk perkembangan pantas dalam segmen penjagaan kesihatan.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu dijangka mendapat manfaat dalam semua segmen perniagaan selepas ekonomi negara mula mencatatkan pemulihan dan kerajaan sudah membuka semula sempadan negara.

 

Katanya, model perniagaan bersepadu yang dimiliki kumpulan itu dilihat saling melengkapi antara semua segmen dan memberikan nilai yang tinggi terhadap sinergi perniagaan mereka.

 

"Usaha mereka dalam mempercepatkan perkembangan segmen kesihatan bersama rakan strategik baharunya, GIC dijangka memuncak dalam segmen itu dan membantu meningkatkan nilai kumpulan.

 

"Sunway kekal sebagai pilihan utama kami selepas mengambil kira operasi bersepadunya dalam segmen hartanah, pembinaan dan bahan binaannya," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu merancang untuk mengembangkan perkhidmatan perbuatannya menerusi Sunway Medical Velocity ke seluruh negara dan ia akan dilengkapi dengan rangkaian farmasi yang dijenamakan semula sebagai Sunway Multi Care.

 

"Menerusi hab itu, Sunway dijangka menjana lebih banyak pendapatan dengan memaksimumkan kadar penggunaan selain merujuk pesakit yang memerlukan rawatan lanjut ke SMC Sunway City

 

"Ia juga akan membantu meningkatkan capaian terhadap pesakit menerusi kehadiran mereka di setiap negeri dan ditambah dengan kewujudan rantaian farmasi selain memanfaatkan perancangan serta perolehan berpusat kumpulan," katanya. - DagangNews.com