KUALA LUMPUR 5 Jan - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research mengekalkan saranan 'neutral' terhadap sektor teknologi walaupun terdapat jangkaan penurunan terhadap kadar penggunaan fabrikasi industri.
Katanya, pada tahun ini, industri dijangka meningkat sebanyak 14% dirangsang pemulihan kukuh dalam hampir semua segmen utama.
"Bagaimanapun, kami berpendapat bahawa unjuran itu telalu tinggi memandangkan segmen pembuatan kekal lemah dengan inventori IC kekal tinggi walaupun kadar penggunaan fabrikasi terus mencatatkan penurunan sejak suku ketiga 2022," kata firma dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma penyelidikan itu juga tidak menjangkakan kitaran menaik perbelanjaan modal yang ketara dalam tempoh terdekat sehingga kadar penggunaan industri kembali ke tahap optimum.
Katanya, kedudukan dolar Amerika Syarikat (AS) yang lebih lemah juga dijangka memberi kesan kepada prospek sektor itu.
"Disebabkan pasaran semikonduktor pasaran komputer peribadi (PC) dan telefon pintar global adalah besar, kelemahan itu tidak mungkin dapat diimbangi oleh kekuatan komputer berprestasi tinggi (HPC) sahaja.
"Kami mengekalkan saranan 'neutral' dan kekal berhati-hati terhadap sektor itu berdasarkan asas yang tidak menggalakkan dalam jangka pendek serta penilaian saham yang agak tinggi," katanya.
ITMAX System Berhad (TP:RM2.08) dan SMRT Holdings Berhad (TP: RM1.38) merupakan pilihan utama HLIB dalam sektor itu.
Firma penyelidikan itu memihak kepada pemain industri dalam ruang aplikasi diikuti mereka yang mempunyai pendedahan dalam pemasangan dan ujian semikonduktor faundri/sumber luar dan terakhir peralatan ujian automatik. - DagangNews.com