HLIB kekal unjuran harga minyak mentah antara AS$100 hingga AS$110 setong tahun ini | DagangNews Skip to main content

HLIB kekal unjuran harga minyak mentah antara AS$100 hingga AS$110 setong tahun ini

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 2 Sept - Hong Leong Investment Bank (HLIB) mengekalkan unjuran harga minyak mentah bagi tahun ini antara AS$100 hingga AS$110 setong, justeru, mengulangi pandangan 'overweight' terhadap sektor minyak dan gas (O&G).

 

Ketika ini harga minyak mentah Brent berlegar pada purata AS$104 setong dan firma itu mengunjurkan ia akan berlegar antara AS$93 hingga AS$98 setong pada tahun hadapan. 

 

Penganalisisnya, Jeremy Yap bagaimanapun berkata, Petronas mengunjurkan harga minyak mentah Brent sekitar AS$90 hingga AS$95 setong pada separuh kedua 2022.

 

"Dalam hal ini, kami melihat Petronas cenderung untuk menjadi lebih konservatif dengan unjuran dan kenyataan yang berpandangan ke hadapan," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Pada Selasa, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Datuk Tengku Muhammad Taufik berkata, harga minyak mentah dijangka mengalami pelarasan bermula 2023 tetapi akan kembali normal ke paras seperti sebelum pandemik.

 

Ini mendorong syarikat O&G itu mengambil pendekatan berhati-hati dengan harga minyak mentah semasa dan menyatakan bahawa harga tinggi ketika ini adalah disebabkan oleh kekurangan pelaburan dalam tempoh lima tahun lalu. 

 

Petronas merekodkan prestasi yang kukuh bagi separuh pertama 2022 dalam ketidaktentuan pasaran tenaga yang berterusan dan peralihan tenaga yang dipercepatkan.

 

Ini menyaksikan pada tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2022, Petronas merekodkan pendapatan sebanyak RM172.1 bilion, berbanding RM109.6 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya manakala keuntungan selepas cukai (PAT) melonjak 146% kepada RM46.4 bilion daripada RM18.8 bilion sebelum ini.

 

Baca : Petronas untung RM46.4 bilion pada separuh pertama 2022, melonjak lebih 100%

 

Bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2022, kumpulan merekodkan pendapatan lebih tinggi sebanyak RM93.3 bilion, berbanding RM57.1 bilion pada suku sama tahun lalu yang sebahagian besarnya disebabkan oleh impak harga yang menggalakkan untuk semua produk dan kadar pertukaran yang lebih baik.

 

PAT pula meningkat kepada RM23 bilion berbanding RM9.6 bilion pada suku sama tahun lalu sejajar dengan pendapatan lebih tinggi yang sebahagiannya diimbangi oleh kos produk dan cukai yang lebih tinggi.

 

Yap menyifatkan Petronas mencatatkan prestasi suku tahunan terbaiknya dalam dekad yang lalu pada suku kedua dan separuh pertama terutamanya disebabkan purata harga produk direalisasikan yang lebih tinggi.

 

Menurut beliau, perbelanjaan modal (capex) Petronas sebanyak RM18.9 bilion pada separuh pertama adalah sejajar dengan aliran tunai operasi sukuan yang lebih baik sebanyak RM34.6 bilion. 

 

"Baru-baru ini, Petronas telah mengumumkan bahawa ia akan meningkatkan capex pada 2022 kepada RM60 bilion, tertinggi sejak 2015 dan hampir dua kali ganda paras 2021 sebanyak RM30.5 bilion.

 

"Kami percaya ini akan menjadi petanda baik untuk sektor O&G tempatan kerana kebanyakan penyedia perkhidmatan tersenarai dalam ruang perkhidmatan dan peralatan minyak dan g (OGSE) sangat bergantung kepada Petronas sebagai pelanggan utama dan akan menjadi penerima manfaat secara langsung daripada perkembangan ini," jelasnya.

 

Sehubungan itu, HLIB menamakan Dagang Nexchange Bhd. (DNeX), Bumi Armada Bhd., Dayang Enterprise Holdings Bhd. dan Hibiscus Petroleum Bhd. sebagai pilihan utama bagi sektor O&G. - DagangNews.com