HLIB mulakan liputan terhadap SFP Tech dengan saranan 'beli', TP 63 sen | DagangNews Skip to main content

HLIB mulakan liputan terhadap SFP Tech dengan saranan 'beli', TP 63 sen

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 20 Jun - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research memulakan liputan terhadap SFP Tech Holdings Bhd. yang baru disenaraikan pagi ini dengan saranan 'beli' pada harga sasaran (TP) 63 sen sesaham.

 

Penarafan itu berdasarkan keuntungan harga kepada pendapatan (PE) 18 kali ganda untuk tahun kewangan 2023 (FY23) pada diskaun kira-kira 30% kepada purata wajaran PE satu tahun gandaan sebanyak 26 kali. 

 

Menurut firma itu, ia bagi mencerminkan penyenaraiannya di Pasaran ACE, menyebabkannya kurang boleh dilabur oleh pelabur institusi dan permodalan pasarannya adalah kecil berbanding pemain industri yang lain.

 

"Kami melihat penyedia perkhidmatan sokongan kejuruteraan tempatan itu mempunyai kedudukan yang kukuh dalam ruang semikonduktor, elektrik dan elektronik serta solar fotovoltaik solar.

 

"Oleh itu, kami mengunjurkan hasil kumpulan akan berkembang dengan kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) sebanyak 22% bagi FY22-FY24," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Baca : SFP Tech mulakan dagangan di Bursa Malaysia pagi ini

 

SFP Tech telah disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad (Bursa Malaysia) dan secara rasmi memulakan dagangan di bawah nama pendek saham SFPTECH dan kod saham 0251 pada pembukaan dagangan pukul 9 pagi tadi.

 

Pelaksanaan tawaran harga permulaan (IPO) itu melibatkan terbitan awam sebanyak 207.44 juta saham biasa baharu pada harga terbitan 0.30 sen sesaham.

 

Berdasarkan harga terbitan dan modal saham terbitan yang diperbesarkan sebanyak 800 juta, SFP Tech mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM240 juta.

 

Perolehan IPO kira-kira RM62.23 juta akan digunakan terutamanya untuk perbelanjaan modalnya yang merangkumi pembinaan Loji Pembuatan 3 di Taman Sains Pulau Pinang dan pembelian mesin.

 

Setakat 12.15 tengah hari ini, harga sahamnya kekal tidak berubah pada 66.5 sen dengan 236.5 juta saham diniagakan. - DagangNews.com