KUALA LUMPUR 7 Okt - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research menyemak naik harga sasaran Sunway Real Estate Investment Trust (REIT) kepada RM1.68 daripada RM1.67 sesaham sebelum ini dengan mengekalkan saranan 'beli'.
Sejajar semakan itu, ia menaikkan unjuran keuntungan bersih teras bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) hingga FY24 sebanyak 5.3% hingga 5% setelah mengambil kira sumbangan sewa yang lebih tinggi menerusi aset peruncitan dan perhotelan.
Menurutnya, jualan runcit penyewa di pusat beli-belah kekal stabil pada suku ketiga berbanding separuh pertama 2022, walaupun selepas banyak cuti perayaan sepanjang tempoh itu.
"Sumbangan sewa daripada Sunway Carnival Mall juga menggalakkan yang bermula akhir Julai lalu (mencapai lebih 90% kadar penghunian komited pada akhir September).
"Bagi segmen hotel pula, pihak pengurusan secara proaktif telah memanfaatkan pemulihan sihat pasaran riadah domestik seiring pembukaan berperingkat hotel Sunway Resort," katanya dalam nota kajian hari ini.
Pada separuh pertama 2022, jualan penyewaan pusat beli-belah runcitnya telah melebihi tahap sebelum pandemik, walaupun kedatangan pengunjung masih di bawah sedikit daripada paras 2019.
Sumbangan sewa daripada sayap baharu Sunway Carnival Mall pula bermula pada akhir Julai lalu, diterjemahkan kepada 2 bulan sumbangan sewa untuk kawasan boleh disewa bersih (NLA) dengan tambahan 350,000 kaki persegi kepada segmen runcitnya untuk baki suku ketiga dan seterusnya.
Meskipun pelancong kembali memasuki negara ini secara beransur-ansur, tetapi hotelnya yang terletak di Sunway City tidak menikmati kemasukan pelancong dari rantau Timur Tengah seperti biasa pada musim panas ini.
Namun, pembukaan semula berperingkat hotel Sunway Resort berjalan lancar dengan 238 daripada 460 bilik dibuka pada akhir September.
Sementara itu, menurut HLIB, di sebalik kitaran naik kadar faedah, pengurusan mengekalkan pendiriannya untuk mengguna pakai pengurusan modal aktif untuk mengoptimumkan kos hutang dan struktur modal.
Katanya, pada separuh pertama 2022, penggearan Sunway REIT berada pada tahap sihat sekitar 36.8% dengan mempunyai salah satu kos purata hutang terendah iaitu 2.7% dalam kalangan M-REIT.
"Pengurusan mengekalkan pendiriannya untuk mengguna pakai pengurusan modal yang aktif menggunakan pembiayaan tempoh yang lebih pendek dengan kadar terapung, yang diterjemahkan kepada kadar kupon dan kos hutang yang lebih rendah serta lebih fleksibiliti dalam menguruskan struktur modal mereka," jelasnya.
Setakat 12.22 tengah hari ini, harga sahamnya susut 1 sen atau 0.7% kepada RM1.41 dengan 46,400 saham diniagakan. -DagangNews.com