KUALA LUMPUR 17 Okt - Evergreen Fibreboard Berhad akan memindahkan 19% daripada kapasiti pembuatan papan gentian ketumpatan sederhana (MDF) dari Batu Pahat ke Indonesia dengan kerja-kerja itu akan dilakukan pada 4QFY22.
Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research positif dengan langkah itu kerana Indonesia mempunyai kelebihan dari segi kos dan permintaan.
"Kami kekal berhati-hati dengan ketidaktentuan pasaran global tetapi percaya kumpulan itu berada pada kedudukan yang baik untuk mengharungi cabaran berikutan pasaran di Indonesia dan Asia Barat lebih berdaya tahan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma itu berkata, kumpulan itu sedang merancang untuk memindahkan Talian 2 MDF Batu Pahat mereka ke PT Hijau Lestari Raya Fibreboard di Indonesia.
Katanya, perpindahan itu disebabkan oleh isu kayu getah yang berterusan tidak mencukupi disebabkan beberapa faktor.
"Ia termasuk lebih banyak ladang getah digantikan dengan ladang kelapa sawit, serta pemilik ladang getah sedia ada (terutamanya pekebun kecil) mengabaikan ladang mereka kerana kekurangan tenaga kerja asing.
"Selain itu, generasi muda juga tidak bersedia untuk mengambil alih daripada generasi perintis dan terdapat kekurangan dana secara umum untuk menjalankan pemeliharaan ladang dengan betul," katanya.
Firma itu berkata, pihak pengurusan kumpulan itu menyatakan bahawa beberapa negeri akan mengenakan caj royalti baharu ke atas kayu ladang, termasuk kayu getah, sekali gus meningkatkan kos perniagaan di Malaysia.
Katanya, menerusi caj baharu itu, bekalan kayu juga terganggu kerana semua penghantaran kayu perlu disahkan oleh renjer perhutanan dan tanpa pengesahan, tiada sebarang penghantaran boleh dilakukan selain tiada penghantaran dibenarkan pada waktu malam serta hujung minggu.
"Terdapat juga kekurangan sokongan daripada kerajaan Malaysia untuk melindungi bahan mentah untuk industri utama tempatan kerana kayu dieksport secara bebas yang seterusnya menyebabkan industri tempatan kehilangan bekalan kayu.
"Atas sebab-sebab itu, kumpulan itu mengambil keputusan untuk meneruskan perancangan untuk menempatkan semula kilang mereka di Indonesia," katanya. - DagangNews.com