HLIB positif terhadap prospek pertumbuhan ITMAX didorong kadar tempahan yang kukuh | DagangNews Skip to main content

HLIB positif terhadap prospek pertumbuhan ITMAX didorong kadar tempahan yang kukuh

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Ogos - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research positif terhadap prospek pertumbuhan ITMAX Sytem Berhad didorong oleh kadar tempahan dan tender yang kukuh.

 

Firma penyelidikan itu yakin terhadap syarikat itu berikutan berita mengenai pengambilalihan 70% kepentingan dalam Aim-Force Software Sdn Bhd.

 

Katanya, Aim-Force terlibat dalam penyelesaian dan perkhidmatan teknologi maklumat dan komunikasi, terutamanya dalam penyediaan rumusan parkir pintar, penyelesaian penguatkuasaan dan perisian dan teknologi mobiliti perusahaan.

 

Pengambilalihan sebanyak RM7.2 juta berdasarkan penilaian 6.2x keuntungan selepas cukai datang dengan jaminan keuntungan sekurang-kurangnya RM1.65 juta bagi setiap tiga tahun kewangan akan datang.

 

"Apabila sempadan dibuka semula dan sekatan ditarik balik, ia sedang mencari untuk meneruskan pertumbuhannya dengan mengembangkan tawaran perkhidmatannya dan berkembang ke wilayah dan segmen lain," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

HLIB mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM1.80 sesaham.

 

Sementara itu, kumpulan itu mencatatkan keuntungan bersih teras sebanyak RM15 juta pada 2QFY23, yang menjadikan jumlah 1HFY23 kepada RM31 juta, menggandakan keuntungan bersihnya daripada tempoh yang sama pada 2022.

 

Prestasi itu memenuhi jangkaan kerana ia menyumbang 48% daripada unjuran tahun penuh HLIB dan pasaran. - DagangNews.com