HLIB ramal persaingan serantau bagi jualan sarung tangan global adalah terhad | DagangNews Skip to main content

HLIB ramal persaingan serantau bagi jualan sarung tangan global adalah terhad

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 16 Julai - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research meramalkan persaingan serantau bagi jualan sarung tangan adalah terhad kerana kebanyakan pengeluar kini beroperasi pada kapasiti penuh. 

 

Katanya, pengeluar sarung tangan dari China kini beroperasi pada kapasiti maksimum terutama bagi sarung tangan getah perubatan nitril sejak suku kedua tahun lalu.

 

"Pada suku pertama tahun ini, Intco Medical, pengeluar terbesar daripada China mengalami purata jualan sarung tangan nitil yang mendatar manakala purata harga jualan (ASP) meningkat sekurang-kurangnya 13% dari suku tahun ke suku tahun.  

 

"Secara keseluruhannya, kami percaya, persaingan serantau bagi jualan dan ASP daripada rakan setara global adalah terhad pada masa hadapan, kerana mereka kini beroperasi pada kapasiti penuh dengan peningkatan ASP," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, di Malaysia, jumlah jualan meningkat 15% kepada 25% dari suku tahun ke suku tahun pada suku pertama tahun ini berbanding trajektori pertumbuhan yang tidak menentu dalam empat suku tahun 2023.

 

"Bagaimanapun, trajektori ASP adalah bercampur. Sebagai contoh, ASP Hartalega Holdings Bhd meningkat 2% hingga 3% pada suku pertama 2024, tetapi syarikat lain merosot sebanyak 2% hingga 5%.

 

“Oleh itu, kami menyimpulkan bahawa sisihan volum jualan suku pertama 2024 dan trajektori ASP berbanding rakan setara global adalah disebabkan terutamanya oleh persaingan harga dalam kalangan rakan tempatan, memandangkan beberapa pemain masih mempunyai lebihan kapasiti,” katanya.

 

HLIB berkata, walaupun mereka positif terhadap persekitaran operasi yang bertambah baik untuk pemain sarung tangan, pemulihan untuk 2025 adalah berpatutan, selepas kenaikan harga saham baru-baru ini didorong oleh sentimen positif daripada kenaikan tarif Amerika Syarikat (AS) yang diumumkan pada Mei 2024 terhadap China.

 

“Tambahan pula, kebanyakan pembuat sarung tangan tidak memberikan sebarang pendapatan bermakna pada masa ini,” katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan penarafan 'neutral' terhadap sektor itu dan menjangkakan pengeluar sarung tangan di bawah liputannya meriah pendapatan lebih kukuh pada suku akan datang.- DagangNews.com