HLIB Research tingkatkan saham HeveaBoard | DagangNews Skip to main content

HLIB Research tingkatkan saham HeveaBoard

HeveaBoard Bhd.

KUALA LUMPUR 9 Sept. - HLIB Research menaikkan harga sasaran sesaham (TP) syarikat pembuatan papan partikel, HeveaBoard Bhd. kepada 48 sen berbanding TP sebelumnya 40 sen.

HLIB Research berkata, kenaikan tersebut dinilai berdasarkan kepada permintaan memberangsangkan terhadap perabot siap pasang (RTA) syarikat berkenaan hingga Februari 2021.

"Walaupun kenaikan purata harga jualan (ASP) tidak menentu, segmen papan partikel akan terus meningkatkan jumlah pendapatan untuk jangka masa pendek.

"Perkara itu turut didorong oleh jaminan pesanan RTA hingga Februari 2021," jelas HLIB Research.

Tambah HLIB Research, HeveaBoard turut menghadapi masalah pengeluaran susulan pembekuan pengambilan pekerja asing di syarikat berkenaan.

Masalah tersebut memberi kesan kepada HeveaBoard meskipun syarikat tersebut mampu meningkatkan jumlah pengeluaran sebanyak 20% berdasarkan kepada kapasiti kilang yang ada.

Selain itu juga, prestasi nilai ringgit semasa tidak memberi petanda baik kepada HeveaBoard kerana syarikat berkenaan menjalankan penjualan eksport dalam bentuk dolar Amerika Syarikat (AS).

HeveaBoard merupakan syarikat pembuatan papan seperti papan partikel, panel kayu dan lain-lain lagi yang berasaskan sisa kayu getah.

HeveaBoard turut mempunyai anak syarikat yang turut menjalankan perniagaan hiliran dalam pembuatan perabot RTA yang berkonsepkan papan partikel.

Selain itu juga, anak syarikatnya terlibat dalam aktiviti perdagangan dan pengedaran produk papan partikel serta panel kayu. - DagangNews.com