HLIB Research unjur jumlah jualan kenderaan 600,000 unit tahun ini | DagangNews Skip to main content

HLIB Research unjur jumlah jualan kenderaan 600,000 unit tahun ini

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 5 Jan - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research mengunjurkan pertumbuhan tahun ke tahun (yoy) sebanyak 18.8% kepada 600,000 unit dalam jumlah jualan keseluruhan industri (TIV) bagi sektor automotif tahun ini.

 

Dalam nota penyelidikannya HLIB Research berkata, TIV akan disokong dengan baik oleh lanjutan pengecualian cukai jualan (SST) kenderaan sehingga 1H22 namun dijangka mula perlahan memasuki separuh kedua 2022.

 

"Keseluruhan landskap TIV 2022 boleh dibahagikan kepada 2 tempoh;1H22 yang kukuh didorong oleh permintaan yang kukuh semasa tempoh pengecualian SST sehingga Jun 2022; diikuti dengan 2H22 yang lemah, selepas pengecualian SST, kerana pengguna pastinya telah melakukan pembelian mereka. 

 

"Kami menjangkakan 2H22 yang mencabar dengan saingan yang sengit secara menyeluruh. OEM perlu memanfaatkan model baharu dan program jualan yang menarik untuk mengekalkan jualan. 

 

"Pelancaran baharu yang menarik termasuk Proton (DRB) – model baharu berasaskan Geely; Perodua (UMW & MBM) – Myvi facelift dan Alza baharu; Honda (DRB) – hatchback City baharu dan HR-V baharu; Toyota (UMW) – Cross baharu, Vios facelift dan Yaris," katanya dalam nota penyelidikannya di sini hari ini.

 

Tambahnya, sektor ini dijangka mendapat manfaat daripada kenaikan RM berbanding AS$ dan Yen pada 2022 berbanding paras semasa. 

 

Selain itu, katanya, kadar dasar semalam (OPR) yang rendah sebanyak 1.75% pada tahun 2022 akan memberikan tahap penjimatan kos tertentu, kondusif untuk pembelian kereta baharu. 

 

"Namun begitu, kami menjangkakan BNM hanya akan meningkat 25 mata asas menjelang akhir 2022 apabila pemulihan ekonomi Malaysia semakin kukuh.

 

"Kami menjangkakan OEM domestik Proton (DRB) dan Perodua (MBMR & UMW) akan terus mengungguli pesaing mereka dalam jangka panjang, didorong oleh model baharu berharga menarik dan program eksport baharu. 

 

"Kami mengekalkan saranan NEUTRAL pada sektor Automotif, dengan cadangan BELI pada DRB  dengan harga sasaran (TP) RM2.30), MBMR (TP: RM4.80) dan Sime (TP: RM2.68). -DagangNews.com