HLIB semak naik unjuran pendapatan Homeritz sebanyak 8.9%, 9.1% untuk FY23, FY24 didorong jumlah jualan tinggi | DagangNews Skip to main content

HLIB semak naik unjuran pendapatan Homeritz sebanyak 8.9%, 9.1% untuk FY23, FY24 didorong jumlah jualan tinggi

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 April - Hong Leong Investment Bank Research (HLIB) menyemak naik unjuran pendapatan Homeritz Corporation sebanyak 8.9% dan 9.1% untuk FY23 serta FY24 selepas mengambil kira jumlah jualan yang tinggi hasil daripada perancangan pengeluaran dan kecekapan kumpulan.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu mencapai pendapatan suku tahun tertinggi dan keuntungan teras bersih didorong oleh harga purata jualan yang lebih tinggi selain kos bahan mentah yang lebih stabil.

 

Bagaimanapun, katanya, konflik Rusia-Ukraine dan kawalan pergerakan di China akan menjadi punca kekurangan kontena serta kenaikan kos bahan mentah dalam tempoh terdekat.

 

"Kami menjangkakan Homeritz akan mengekalkan pendapatan yang kukuh pada masa hadapan kerana memiliki tempahan yang stabil selain kapasiti pengeluarannya bertambah baik hasil daripada kecekapan pengeluaran daripada kilang baharunya.

 

"Pada masa sama, kadar tukaran asing RM4.36/AS$ juga memberi kesan positif kepada mereka kerana lebih 90% pendapatan kumpulan adalah di dalam AS$ selain pegangan tunai yang kukuh sebanyak RM104 juta," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) teras bagi 2Q22 adalah melebihi jangkaan iaitu RM9.7 juta menjadikan keuntungan 1H22 kepada RM17.1 juta.

 

Keputusan itu adalah disumbangkan hasil jualan yang tinggi dan kekutan tukaran wang asing khususnya AS$.

 

"Ini merupakan pendapatan suku tahun dan pendapatan teras tertinggi yang pernah dicatatkan dan 2Q22 PATAMI teras hadir selepas semakan semula tukaran wang asing yang menokok sebanyak RM0.6 juta," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM0.89. - DagangNews.com