HLIB turunkan harga sasaran IJM Corp kepada RM1.91 sesaham | DagangNews Skip to main content

HLIB turunkan harga sasaran IJM Corp kepada RM1.91 sesaham

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 8 Nov - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research menyemak turun harga sasaran IJM Corp. Bhd. kepada RM1.91 daripada RM1.96 sesaham sebelum ini dengan mengekalkan saranan 'beli'.

 

Sejajar semakan itu, ia membuat perubahan terhadap unjuran bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2023 (FY23), FY24 dan FY25 masing-masing sebanyak -5.4%, -4.4% dan -3.1% selepas menyelaraskan perbelanjaan faedah yang lebih tinggi dan mengurangkan anggaran margin hartanah.

 

Menurut firma itu, segmen pembinaan dan pelabuhan kumpulan mempamerkan asas yang semakin baik manakala segmen industri kekal kukuh.

 

Namun, segmen hartananah mungkin berdepan permintaan yang lebih lemah ekoran kenaikan kadar faedah dan tekanan inflasi.

 

"Kami percaya perubahan pada terma konsesi tol akan menjadi neutral kepada aliran tunai terdiskaun (DCF) dan boleh membawa peluang untuk menambah nilai dan menyelaraskan penjajaran pegangan," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Beberapa hari selepas pembubaran Parlimen pada 10 Oktober lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan cadangan penstrukturan semula empat syarikat konsesi lebuh raya bertol di bawah kendalian Prolintas dan IJM Corp. dan mengurangkan kadar tol di enam lebuh raya.

 

Lebuh raya terbabit ialah Lebuhraya Bertingkat Ampang–KL (AKLEH), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Kemuning – Shah Alam (LKSA) dan Lebuhraya Lingkaran Penyuraian Trafik Kajang (SILK) akan berkuat kuasa pada 20 Oktober 2022.

 

Pengurangan kadar tol bagi Lebuhraya Lekas dan Besraya di bawah IJM Corp. pula akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2023.

 

Menurut HLIB, portfolio Prolintas menyaksikan pemotongan antara 8% hingga 15%, justeru, dengan mengandaikan pemotongan 15% dilaksanakan ke atas aset IJM Corp akan menjejaskan ramalan teras keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) yang diunjurkannya bagi FY23, FY24 dan FY25 masing-masing sebanyak -1.3%, -4.3% dan -4.2%.

 

"Walaupun hanya Besraya dan Lekas yang disebut, tetapi penstrukturan semula tol IJM Corp. melibatkan keseluruhan portfolionya dibahagikan kepada dua fasa yang dikategorikan mengikut status operasi.

 

"Kami menganggap penstrukturan semula mungkin melibatkan pengewangan separa kepentingan aset yang kami nilai pada masa ini pada 50 sen sesaham dan boleh membawa peluang sambungan jajaran untuk meningkatkan daya maju jalan bertolnya," jelasnya.

 

Dalam pada itu, firma tersebut berkata, kumpulan juga tidak membuat perubahan terhadap sasaran nilai kontraknya bagi FY23 sebanyak RM3 bilion. 

 

Malah, katanya, sasaran itu boleh dicapai dengan mudah sekiranya IJM Corp. memperoleh tender bagi projek MRT3.

 

"Berdasarkan maklumat yang kami peroleh, jumlah nilai pakej sistem yang dianugerahkan untuk MRT2 adalah kira-kira RM4.6 bilion. 

 

"Selain itu, terdapat beberapa tender tertunggak yang boleh menambah nilai kontraknya sebanyak RM4.6 bilion tetapi jumlahnya mungkin kecil jika dibandingkan," katanya.

 

Setakat 11.29 pagi, harga saham IJM Corp susut 0.1 sen atau 0.64% kepada RM1.55 dengan 273,600 saham diniagakan. - DagangNews.com