HLIB unjur Evergreen Fibreboard catat pemulihan pendapatan pada separuh kedua 2024 | DagangNews Skip to main content

HLIB unjur Evergreen Fibreboard catat pemulihan pendapatan pada separuh kedua 2024

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Mac - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research mengunjurkan Evergreen Fibreboard Bhd mencatatkan pemulihan pendapatan pada separuh kedua tahun ini disokong peningkatan kapasiti pengeluaran di Indonesia serta pemulihan jualan di Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah (EU).

 

Katanya, pendapatan suku tahun berikutnya juga diunjur bertambah baik kerana rangkaian pengeluaran papan gentian berketumpatan sederhana (MDF) di Indonesia mula mencatatkan peningkatan pengeluaran selepas siap sepenuhnya penempatan semula dari Malaysia.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pengeluaran tamabahan akan diterima dengan baik oleh permintaan daripada pasaran domestik Indonesia selain eksport ke pasaran Asia Barat.

 

"Pasaran perumahan di AS mencatatkan perkembangan positif dengan jualan rumah sedia ada melonjak sebanyak 9.5% dari tahun ke tahun pada Februari 2024. 

 

"Jualan perabot sedia untuk dipasang (RTA) kepada AS dan EU dijangka pulih pada separuh kedua tahun ini sekiranya Rizab Persekutuan AS mula mengurangkan kadar faedah sekali gus membantu meningkatkan jualan rumah dan permintaan perabot," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY23) mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM35.6 juta dengan hasil sebanyak RM909.8 juta berbanding kerugian bersih RM26.1 juta dengan hasil RM1.1 bilion pada FY22.

 

HLIB berkata, kumpulan itu sudah mula mempelbagaikan jualan di Jepun termasuk meningkatkan jualan RTA ke negara itu dan pengurusan melihat untuk mengeksport papan panel ke negara itu pada masa hadapan.

 

Katanya, kumpulan itu mula mencatatkan kemajuan menggalakkan kerana eksport Jepun kini membentuk 20% daripada juala RTA berbanding asas rendah sebelum ini kerana mereka lebih tertumpu kepada pasaran AS.

 

“Disebabkan oleh piawaian pematuhan yang ketat bagi pasaran Jepun, kejayaan penembusan kumpulan itu ke dalam pasaran negara itu berpotensi membuka jalan kepada mereka untuk mengembangkan pangkalan pelanggannya serta penawaran produk untuk mengeksport papan panel pada masa hadapan," katanya.

 

Firma penyelidikan itu berkata, disebabkan kejatuhan dalam jualan eksport perabot pada 2022 dan 2023, pembuat perabot di Malaysia mengekalkan inventori papan panel yang rendah.

 

“Apabila pasaran eksport perabot pulih, pembuat papan panel seperti Evergreen akan menjadi yang pertama mendapat manfaat apabila pembuat perabot Malaysia menambah inventori papan panel mereka," katanya.

 

HLIB menyemak naik penarafan kumpulan kepada 'beli' berbanding 'pegang' dengan harga sasaran (TP) 42 sen sesaham. - DagangNews.com