HLIB unjur pendapatan Lagenda Properties lebih kukuh pada 2HFY22 | DagangNews Skip to main content

HLIB unjur pendapatan Lagenda Properties lebih kukuh pada 2HFY22

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Ogos - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research mengunjurkan pendapatan Lagenda Properties lebih kukuh pada 2HFY22 disokong oleh jualan lebih baik terhadap projek baharu selain lebih banyak projek memasuki fasa baharu.

 

Firma itu percaya, permintaan untuk produk kumpulan itu kekal berdaya tahan walaupun kadar faedah meningkat kerana lebih 60% pelanggan mereka merupakan penjawat awam yang layak mendapat pinjaman kadar tetap sebanyak 4% dan oleh itu tidak terjejas oleh kenaikan kadar tersebut.

 

"Kumpulan itu menyaksikan peningkatan kukuh dalam jualan pada 2QFY22 disokong oleh jualan unit siap serta jualan daripada pelancaran baharu.

 

"Bagaimanapun, pendapatan kumpulan dijangka lebih rendah daripada jangkaan disebabkan peningkatan dalam kos pengambilan pekerja sebagai persediaan untuk pelancaran projek baharu serta perbelanjaan pemasaran yang lebih," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu untung bersih kumpulan itu meningkat 17.38% kepada RM50.38 juta pada 2QFY22 berbanding RM42.92 juta setahun lalu akibat peningkatan jualan serta pemasaran berkesan.

 

Hasil suku tahunannya melonjak 51.62% kepada RM258.55 juta daripada RM170.52 juta didorong inisiatif pengurusan untuk menukar unit siap kepada jualan melalui strategi pemasaran yang berkesan pada harga berpatutan.

 

Firma itu menurunkan unjuran pendapatan FY22 sebanyak 8.8% dan mengekalkan unjuran bagi FY23/24 dengan sebahagian besarnya tidak berubah pada -0.4%/-0.6%

 

Katanya, unjuran itu didorong oleh pelancaran yang ditangguh kepada 2QFY22 dan 4QFY22 selain kekurangan tenaga pekerja yang memberi kesan kepada pelancaran projek baharu kumpulan.

 

"Kami mengekalkan sasaran 'beli' dengan dengan harga sasaran (TP) RM1.61," katanya. - DagangNews.com