HLIB unjur TIV 2024 sebanyak 720,000 unit berbanding 740,000 unit disasarkan MAA | DagangNews Skip to main content

HLIB unjur TIV 2024 sebanyak 720,000 unit berbanding 740,000 unit disasarkan MAA

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 April -  Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research mengunjurkan jualan keseluruhan industri kenderaan (TIV) sebanyak 720,000 unit pada tahun ini berbanding unjuran Persatuan Automotif Malaysia (MAA) sebanyak 740,000 unit.

 

MAA sebelum melaporkan jualan keseluruhan industri kenderaan (TIV) sebanyak 71,100 unit pada Mac 2024, mengakhiri suku pertama tahun ini dengan jualan sejumlah 202,200 unit.

 

Firma penyelidikan itu berkata, jualan itu didorong oleh pesanan tertunggak sedia ada serta rantaian bekalan yang bertambah baik selain pelancaran model baharu yang menarik selain permintaan berterusan.

 

"Apabila pesanan tertunggak semasa berkurangan, jumlah jualan pada suku akan datang akan menjadi lebih perlahan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Jualan kenderaan pada Mac 2024 meningkat 10.5% kepada 71,052 unit berbanding Februari - MAA

 

HLIB menjangkakan pendapatan sektor itu susut pada tahun ini disebabkan jualan lebih rendah serta kos operasi yang lebih tinggi.

 

Katanya, pelancaran model baharu yang lebih agresif oleh pengeluar peralatan asal (OEM) China dengan harga yang lebih menarik akan memberikan saingan sengit terhadap pengeluar OEM sedia ada.

 

"Kemasukan beberapa OEM baharu ke dalam pasaran mungkin menimbulkan ancaman kepada OEM bukan nasional, disebabkan harganya yang menarik.

 

"Kerajaan juga telah menetapkan 2025 sebagai sasaran bagi OEM nasional untuk memperkenalkan model kenderaan elektrik (EV) mampu milik baharu," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'neutral' terhadap sektor itu. - DagangNews.com