KUALA LUMPUR 8 Jan - Jumlah jualan keseluruhan industri kenderaan (TIV) diunjur meningkat pada suku pertama tahun ini tetapi menjadi perlahan pada suku kedua dan ketiga, kata Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research.
Katanya, sejumlah 200,000 unit dalam tunggakan pesanan yang dijadualkan untuk penghantaran pada masa itu adalah sebab kepada jumlah yang tinggi pada awal tahun ini.
"Bagaimanapun, kami menjangkakan TIV akan perlahan pada suku kedua dan suku ketiga tahun ini disebabkan penyusutan pesanan baharu, sentimen pengguna yang lebih perlahan dan pembelian yang dibawa ke hadapan.
"Pengeluar peralatan asal (OEM) perlu memanfaatkan model baharu dan program jualan yang menarik bagi mengekalkan jualan.
"Selepas itu, TIV berkemungkinan pulih menjelang suku keempat disebabkan jualan akhir tahun yang lebih agresif," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
HLIB berkata, TIV mencatatkan pertumbuhan 11.3% tahun ke tahun kepada 718,600 unit dalam 11 bulan 2023, dipacu oleh pesanan tertunggak tinggi sebanyak 300,000 hingg 350,000 unit pada awal tahun dan permintaan kukuh disokong pelancaran baharu yang menarik sejak 2022.
"Bagi 2023, kami menjangkakan TIV akan mencapai rekod tertinggi baharu sebanyak 790,000 unit (naik 9.6%).
Bagaimanapun, untuk 2024, kami menjangkakan TIV akan kembali normal kepada 720,000 unit (turun 8.9%), terutamanya disebabkan penyusutan pesanan tunggakan," katanya.
Firma penyelidikan itu juga menjangka Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan kadar dasar semalaman pada kadar 3% bagi 2024 kerana bank pusat itu akan menerima pakai pendirian 'tunggu dan lihat' bagi memastikan ketahanan dan kekuatan permintaan ekonomi asas.
HLIB mengekalkan saranan 'neutral' terhadap sektor itu dan menjangkakan pendapatan bagi sektor itu menurun pada 2024 disebabkan oleh jumlah jualan yang lebih rendah dan kos operasi yang lebih tinggi.
DRB Hicom Berhad (Beli, TP: RM2.00) dan MBM Resources Berhad(Beli, TP: RM5.40) menjadi pilihan utama firma penyelidikan itu. - DagangNews.com