HLInvest kekalkan saranan 'beli' saham GDB Holdings, kurangkan 4.4% unjuran perolehan FY22 | DagangNews Skip to main content

HLInvest kekalkan saranan 'beli' saham GDB Holdings, kurangkan 4.4% unjuran perolehan FY22

GDB Holdings Berhad

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 20 Ogos - Penarafan saham syarikat pembinaan, GDB Holdings Berhad (GDB Holdings) dikekalkan dengan saranan 'beli'.

 

Membuat pengekalan itu, Hong Leong Investment Bank Research (HLInvest) berkata, saranan tersebut dibuat bersama dengan harga sasaran sesaham (TP) yang lebih rendah sebanyak RM0.63 berbanding RM0.66 pada sebelumnya.

 

Jumlah tersebut diletakkan selepas membuat penyesuaian terhadap perolehan syarikat.

 

"TP kami letakkan berdasarkan jangkaan perolehan sesaham (EPS) bagi tahun kewangan 2022 (FY22) sebanyak 5.2 sen.

 

"Kami percaya ia sesuai memandangkan pesanan buku GDB Holdings yang tinggi seiring sasaran pulangan ekuiti (ROE) yang tinggi," jelas HLInvest.

 

Dalam nota kajian sama, HLInvest turut mengurangkan unjuran perolehan bagi tahun kewangan 2022 dan 2023, masing-masing sebanyak -4.4% dan -8.0%.

 

Pengurangan itu dibuat setelah membuat semakan terhadap andaian perolehan tahun kewangan 2021.

 

Bagi rekod, GDB Holdings melaporkan hasil sebanyak RM80.7 juta pada suku kedua tahun kewangan 2021.

 

Prestasi tersebut menurun 27% berbanding suku sebelumnya dan meningkat 108% berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Perkembangan tersebut sekali gus menjumlahkan perolehan sebanyak RM5.2 juta, meningkat 33% berbanding tahun sebelumnya.

 

Syarikat berkenaan juga mengumumkan dividen sesaham (DPS) interim sebanyak 0.7 sen.

 

HLInvest berkata, hasil yang dipamerkan oleh GDB Holdings adalah sesuai dengan jangkaan pihaknya.

 

"Walaupun kami menjangkakan hasil suku ketiga yang lemah, syarikat tersebut berkemungkinan mencatatkan prestasi kukuh menjelang hujung tahun ini sekiranya sekatan pergerakan dilonggarkan," ujar HLInvest. - DagangNews.com