KUALA LUMPUR 14 Nov - Kenderaan berperisai mobiliti tinggi empat roda (HMAV 4x4) Tarantula buatan syarikat tempatan, Mildef International Technologies Sdn. Bhd. (Mildef) menarik perhatian ramai pada pameran Indo Defence 2022 di Jakarta International Expo.
Indo Defence merupakan pameran pertahanan bagi aset-aset ketenteraan dan keselamatan terbesar di Indonesia serta antara yang terbaik di rantau ini.
Ia berlangsung selama lima hari yang berakhir Jumaat lepas melibatkan 61 buah negara.
Berbeza dengan pameran pertahanan serantau lain, fokus utama Indo Defence ialah mengetengahkan produk ketenteraan buatan Indonesia selain kehadiran firma luar negara.
Ini merupakan kali pertama Tarantula dipamerkan pada pameran pertahanan di luar Malaysia yang mana Indo Defence merupakan permulaan yang baik.
Penyertaan Midef ini juga adalah sebahagian daripada syarikat tempatan yang menyertai Pavilion Malaysia sepanjang penganjuran tersebut dengan kerjasama daripada 10 syarikat.
Penglibatan ini adalah melalui Bahagian Industri Pertahanan Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF).
Lain-lain syarikat tempatan yang turut serta termasuk penganjur Pameran Udara dan Maritim Langkawi (LIMA) dan Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA).
Kenderaan ini turut menarik perhatian Menteri Pertahanan Indonesia, Letnen Jenderal Probowo Subianto semasa hadir ke Pavilion Malaysia.
Tarantula HMAV 4x4 menggunakan kemahiran anak tempatan ini telah pun menjalani pelbagai ujian penilaian menepati spesifikasi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan standard antarabangsa.
Sepertimana kebanyakan kenderaan HMAV, Tarantula boleh dipasang sistem persenjataan moden seperti Stesen Senjata Kawalan Jauh (RCWS) untuk membolehkannya menembak 360 darjah semasa bertempur.
Sebagai sebuah kenderaan tempur, ia boleh melakukan pelbagai peranan mengikut pada sistem persenjataan atau kupola yang dipasang termasuk senjata antikereta kebal.
Hadir pada pameran Info Defence 2022, Tarantula turut bersaing dengan beberapa kenderaan perisai termaju buatan negara luar dalam kelas yang sama.
Misalnya syarikat pertahanan Indonesia, PT Pindad mempamerkan kenderaan Komodo 4×4 manakala Thailand dengan First Win 4X4 buatan Chaiseri Metal and Rubber Co., Ltd.
Turut dipamerkan pihak PT Pindad ialah kenderaan armor lebih canggih iaitu Anoa, Badak dan Harimau.
Bagaimana pun, tiada maklumat lanjut tentang penyertaan Tarantula semasa pameran Indo Defence 2022 terutamanya tentang sejauh mana maklum balas yang diterima sepanjang dipamerkan.
Pihak Mildef juga tiada memuat naik sebarang berita, ulasan atau analisis seumpamanya melainkan cuma gambar-gambar kunjungan umum sahaja.
Adalah lebih baik sekiranya perkara ini diberikan publisiti yang meluas kerana pada masa sama rakyat di sini ingin tahu apa perkembangan Tarantula selanjutnya.
Tarantula yang juga disebut antara calon bagi program penggantian kenderaan perisai Radpanzer Condor sebenarnya mempunyai potensi untuk ke pasaran luar.
Saingan terdekatnya adalah kenderaan Pars 4x4 buatan Turkiye yang mempunyai ciri-ciri amfibia iaitu antara faktor mesti ada pada pengganti Radpanzer Condor. - DagangNews.com