Ho Wah Genting Investment Bank-Nevis International Bank & Trust perluaskan capaian pelanggan | DagangNews Skip to main content

Ho Wah Genting Investment Bank-Nevis International Bank & Trust perluaskan capaian pelanggan

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 8 Okt. - Bank pelaburan digital Malaysia, Ho Wah Genting Investment Bank (HWGIB) mengumumkan kerjasama strategik dengan Nevis International Bank & Trust (NIB&T) dalam memperluaskan capaian produk masing-masing kepada pelanggan di seluruh dunia. 

Menerusi kerjasama itu, pelanggan HWGIB akan menerima akses secara langsung kepada produk kewangan dan perkhidmatan perbankan 24 jam dalam talian NIB&T.

Dalam masa sama, HWGIB dan NIB&T akan memanfaatkan kekuatan kedua-dua institusi untuk menawarkan akaun bank dalam talian, produk pelaburan dan aset digital menerusi platform digital yang luas. 

 

Gavin Lim
Gavin Lim

 

Ketua Pegawai Eksekutif HWGIB, Gavin Lim berkata, pelanggannya di rantau Asia Pasifik ketika ini berdepan dengan kelemahan infrastruktur perbankan yang membataskan kemampuan mereka untuk memindahkan dana dengan cekap pada peringkat global. 

“HWGIB merupakan bank pelaburan yang sepenuhnya dikawal selia oleh Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (LFSA). 

“Menerusi kerjasama dengan NIB&T, pelanggan akan dapat memanfaatkan perkhidmatan bersepadu NIB&T yang lengkap tanpa had dari perbankan komersial sehingga penyelesaian pasaran modal dalam mata wang utama, menawarkan keselamatan SWIFT selain mengekalkan tahap privasi data dan penjagaan pelanggan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

HWGIB merupakan bank pelaburan digital dengan pembayaran blok rantai di mana membolehkannya berada di barisan hadapan dalam memperkasa klien untuk mengintegrasikan aset digital ke ruang pelaburan dengan lebih lancar.

Dalam pada itu, sebagai bank komersial berlesen dengan pembayaran dan penyelesaian bagi mata wang fiat, NIB&T akan menyediakan sokongan perbankan kepada pelanggan di Asia.

NIB&T mempunyai pelanggan di seluruh 150 negara dengan sembilan mata wang berbeza menerusi jaringan bank SWIFT. 

 

Tony Baldry
Tony Baldry

 

Pengerusi NIB&T, Tony Baldry berkata, kerjasama kedua-dua institusi berkenaan akan memberi contoh nilai oleh pertemuan perbankan tradisional dan teknologi kewangan.

“Digabungkan dengan standard amalan terbaik oleh NIB&T dalam pematuhan perundangan, kami yakin kerjasama pemasaran ini akan menyediakan pelanggan di Asia Pasifik dengan platform yang berkesan dan moden bagi penyelesaian perbankan menyeluruh,” katanya. 

Dalam masa sama, kerjasama itu juga membolehkan pelanggan tempatan dan antarabangsa HWGIB memohon akaun bank korporat dan peribadi dengan NIB&T  untuk menyokong perkhidmatan perbankan tradisional dan pasaran aset digital. 

Pada masa akan datang, kedua-dua institusi berhasrat untuk meneroka peluang bagi menubuhkan cawangan di Labuan, menjadikan Malaysia sebagai pusat perkhidmatan pelanggan NIB&T di rantau Asia Pasifik. - DagangNews.com