Hoe Yean, bintang renang UCSI pertama bertanding di Olimpik | DagangNews Skip to main content

Hoe Yean, bintang renang UCSI pertama bertanding di Olimpik

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 2 Julai - Atlet renang Universiti UCSI, Khiew Hoe Yean dipilih untuk mewakili Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024 dalam acara 400m gaya bebas lelaki.

 

Ini merupakan kali pertama seorang atlet UCSI bertanding di temasya sukan berprestij itu.

 

Hoe Yean merupakan pemegang rekod kebangsaan dengan catatan masa 3 minit dan 48.36 saat. Beliau mencipta rekod itu di Kejohanan Terbuka Australian pada April 2024.

 

Selain itu, beliau menerima tiket wild card daripada World Aquatics kerana mencapai prestasi cemerlang dalam kalangan perenang lelaki Malaysia. Beliau berjaya mengumpul 895 mata (400m gaya bebas), 847 mata (200m gaya bebas), dan 829 mata (800m gaya bebas).

 

Di samping melanjutkan pelajarannya dalam bidang sains komputer di UCSI, beliau berlatih di Australia dan menyertai kem Samuel Short.

 

Kem itu memberikan hasil yang baik buat Hoe Yean apabila berjaya memecahkan rekod kebangsaan dalam 400m gaya bebas, 800m gaya bebas, dan 1,500m gaya bebas sepanjang enam bulan lepas.

 

Beliau akan berlatih di Denmark sebelum bergerak ke Paris. Menurut beliau, “Saya akan berusaha sebaik mungkin untuk mewakili Malaysia di Paris."

 

Sukan Olimpik Paris 2024 akan berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos.- DagangNews.com