Hong Leong Asset Management lantik Chue Kwok Yan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif berkuat kuasa 11 September 2024 | DagangNews Skip to main content

Hong Leong Asset Management lantik Chue Kwok Yan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif berkuat kuasa 11 September 2024

Ketua Pegawai Eksekutif Hong Leong Asset Management, Chue Kwok Yan
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 13 Sept - Hong Leong Asset Management Bhd (Hong Leong AM) melantik Chue Kwok Yan sebagai Ketua Pegawai Eksekutifnya berkuat kuasa 11 September 2024, setelah mendapat kelulusan daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

 

Chue membawa bersamanya pengalaman luas dalam perbankan pelaburan dan penyelidikan. 

 

Sebelum ini, beliau pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Pegawai Pelaburan di KAF Investment Funds Berhad serta Ketua Penyelidikan di Affin Hwang Capital.

 

Terdahulu dalam kerjayanya, beliau menghabiskan sembilan tahun dalam pasukan penyelidik di KAF Seagroatt & Campbell Securities Sdn Bhd, setahun di CLSA Securities Malaysia Sdn Bhd dan lima tahun di ABN Amro Research Malaysia, di mana beliau memulakan kerjayanya.

 

Chue memegang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik & Elektronik dari Imperial College of Science, Technology and Medicine di London. 

 

Beliau juga memegang lesen wakil perkhidmatan pasaran modal.

 

Pengerusi Bukan Bebas/Bukan Eksekutif Hong Leong AM, Lee Jim Leng menekankan kepimpinan dan pengalaman Chue yang akan membawa perubahan dan memacu perniagaan pengurusan aset syarikat.

 

“Rekod prestasinya yang mengagumkan selama lebih daripada 24 tahun dalam industri kewangan, terutamanya dalam penyelidikan pelaburan dan pasukan pelaburan terkemuka, menjadikannya sangat sesuai untuk memacu perniagaan kami ke hadapan.

 

“Kepimpinan Chue, digabungkan dengan pemahaman mendalamnya tentang pasaran modal Malaysia, akan memainkan peranan penting dalam menerajui pertumbuhan dan kejayaan Hong Leong AM pada tahun-tahun akan datang,” ujar beliau. - DagangNews.com