Hong Leong Bank catat untung bersih RM2.11 bilion pada 1HFY24, isytihar dividen 25 sen sesaham | DagangNews Skip to main content

Hong Leong Bank catat untung bersih RM2.11 bilion pada 1HFY24, isytihar dividen 25 sen sesaham

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 28 Feb - Hong Leong Bank Bhd mencatat keuntungan bersih RM2.11 bilion dalam separuh pertama tahun kewangan 2024 (1HFY24), meningkat 4.7% daripada RM2.02 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Ini disokong oleh pertumbuhan kukuh pinjaman/pembiayaan, pendapatan bukan faedah yang bertambah baik dan sumbangan daripada syarikat bersekutu, kata kumpulan perbankan itu dalam satu kenyatan media hari ini.

 

Pendapatan kumpulan menyusut sedikit 4% kepada RM2.85 bilion pada tempoh tersebut berbanding RM2.99 bilion tahun sebelumnya.

 

Menurut bank itu, pendapatan faedah bersihnya pada 1HFY24 turun kepada RM2.28 bilion, namun usahan pengembangan portfolio pinjaman/pembiayaan dan pengurusan aset/liabiliti yang berkesan meningkatkan margin faedah bersih (NIM) kepada 1.85%.

 

Pendapatan bukan faedah (NoII) pula meningkat 3.7% kepada RM577 juta dengan nisbah NoII yang bertambah baik sebanyak 20.2%.

 

Bank itu mengisytiharkan dividen interim sebanyak 25 sen sesaham yang akan dibayar pada 26 Mac 2024.

 

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif HLBank, Kevin Lam berkata bagi 1HFY24, bank itu mencatat pertumbuhan pinjaman kasar dan portfolio pembiayaan sebanyak 7.5% tahun ke tahun kepada RM185.2 bilion, diterajui oleh pertumbuhan merentas segmen gadai janji, pinjaman kereta, PKS dan perbankan komersial serta operasi di luar negara.

 

"Kami secara konsisten memantau kualiti aset kami dan memberi penekanan yang kuat terhadap proses taja jamin kredit kami, seperti yang dibuktikan oleh nisbah GIL yang stabil sebanyak 0.56% dan LIC yang mencukupi sebanyak 163.4%," katanya. 

 

Pada suku kedua tahun kewangan 2024 (2QFY24), HLBank mencatat keuntungan bersih RM1.09 bilion, naik 4% daripada RM1.04 bilion, sementara pendapatan menyusut sedikit 1.5% kepada RM1.46 bilion berbanding RM1.49 bilion.

 

Kevin berkata, bank itu berpegang teguh dalam janji jenamanya ‘Built Around You’ dengan menawarkan produk perbankan yang inovatif dan mengutamakan pelanggan, sambil mengejar peluang mendorong pertumbuhan perniagaan dan memacu nilai francais.

 

“Untuk merealisasikannya, adalah penting bagi kami untuk membina keupayaan digital bertaraf dunia dan terus menyokong serta membolehkan pekerja kami berkembang ke potensi terbesar mereka,” tambahnya.  - DagangNews.com