Hong Leong Bank catat untung bersih RM4.2 bilion pada FY24  | DagangNews Skip to main content

Hong Leong Bank catat untung bersih RM4.2 bilion pada FY24 

Menara Hong Leong
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 29 Ogos - Hong Leong Bank Bhd mencatatkan untung bersih RM4.2 bilion, berbanding RM3.82 bilion pada tahun sebelumnya, manakala hasil meningkat kepada RM5.77 bilion daripada RM5.69 bilion pada FY23.

 

Pengarah Urusan Kumpulan dan CEO, Kevin Lam berkata, walaupun menghadapi cabaran ekonomi makro dan persekitaran operasi pencapaian itu merupakan hasil teguh dalam pelaksanaan Pelan Strategik Kumpulan.

 

"Peningkatan ini juga didorong oleh pertumbuhan pinjaman dan pembiayaan yang membanggakan, nisbah akaun simpanan akaun semasa (Casa) yang lebih baik, kualiti aset yang sihat serta mengekalkan pembiayaan berhemat dan kedudukan mudah tunai," ujarnya.

 

Sementara itu, lembaga pengarah mengisytiharkan dividen akhir sebanyak 43 sen sesaham, menjadikan jumlah dividen bagi tahun itu kepada 68 sen sesaham yang mewakili dividen sembilan sen lebih tinggi daripada tahun sebelumnya serta nisbah pembayaran dividen yang lebih tinggi sebanyak 33.6%.

 

Pada suku akhir FY24 (4QFY24), Hong Leong Bank mencatatkan keuntungan bersih RM1.03 bilion, meningkat daripada RM864.68 juta pada suku tahun lalu, manakala pendapatan sesaham meningkat kepada 50.45 sen berbanding 42.21 sen sebelumnya.

 

Hasil bank meningkat kepada RM1.48 bilion pada suku tersebut berbanding suku akhir FY23 (4QFY23).

 

Pada suku tersebut, Hong Leong Bank berkata, pendapatan faedah bersih mencatatkan peningkatan 10.7% tahun ke tahun (YoY) kepada RM1.21bilion diterajui oleh pengembangan dalam pinjaman/pembiayaan dan pengurusan kos pembiayaan yang berkesan.

 

Sejajar dengan itu, bank itu mencatatkan margin faedah bersih (NIM) yang lebih baik bagi suku kelima berturut-turut kepada 1.89%.

 

Sepanjang tempoh FY24, pendapatan faedah bersih meningkat 2.6% tahun ke tahun kepada RM4.67 bilion.

 

Pendapatan bukan faedah berkembang 26.5% tahun ke tahun kepada RM271 juta didorong oleh pendapatan yuran yang lebih tinggi daripada yuran pengurusan kekayaan, yuran berkaitan kad kredit dan keuntungan dalam pertukaran asing.

 

Pendapatan bukan faedah sepanjang tempoh FY24 ialah RM1.1 bilion.

 

Hong Leong Bank melaporkan perbelanjaan operasi sebanyak RM2.34 bilion pada FY24 yang membawa kepada nisbah kos kepada pendapatan sebanyak 40.5%.

 

"Pinjaman kasar, pendahuluan dan pembiayaan mengekalkan momentum pertumbuhan 7.3% tahun ke tahun kepada RM194.9 bilion didorong oleh pengembangan dalam segmen utama iaitu gadai janji, pinjaman kereta, PKS dan perbankan komersial serta pasaran luar negara.

 

"Deposit pelanggan pada FY24, sementara itu, meningkat 4.1% tahun ke tahun kepada RM220.4 bilion, dengan Casa menyampaikan pertumbuhan kukuh sebanyak 10% tahun ke tahun kepada RM71.6 bilion. 

 

"Ini diterjemahkan kepada nisbah Casa yang lebih baik sebanyak 32.5%," ujarnya. 

 

Sementara itu, syarikat induk bank itu, Hong Leong Financial Group Bhd (HLFG) melaporkan keuntungan bersih RM806.09 juta pada 4QFY24 berbanding RM663.91juta pada 4QFY23.

 

HLFG berkata, pendapatan masuk pada suku tersebut adalah RM1.72 bilion  dalam tinjauan berbanding RM1.49 bilion pada 4QFY23, manakala pendapatan sesaham meningkat kepada 71.1 sen daripada 58.5 sen sebelumnya.

 

Dalam tempoh satu tahun hingga 30 Jun 2024, HLFG catatkan untung bersih RM3.2 bilion berbanding RM2.88 bilion pada FY23, manakala hasil meningkat kepada RM6.65 bilion daripada RM6.48 bilion pada tahun sebelumnya.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif HLFG, Tan Kong Khoon dalam satu kenyataan berkata, pemacu utama kepada pertumbuhan keuntungan Kumpulan didorong oleh pinjaman/pembiayaan yang kukuh, keuntungan pelaburan yang lebih tinggi daripada segmen insurans, pendapatan pembrokeran yang bertambah baik dan sumbangan sihat daripada syarikat bersekutu.

 

"Ini mempamerkan kekuatan syarikat operasi kumpulan dalam berjaya mengemudi persekitaran operasi yang mencabar di tengah-tengah tekanan luar yang berterusan. 

 

"Walaupun prospek Malaysia kekal menggalakkan, kami mengambil kira sebarang risiko penurunan tekanan luar daripada ketegangan geopolitik dan perdagangan yang berkembang antara ekonomi utama," ulas beliau.

 

Bagi dividen terakhirnya, HLFG mengisytiharkan pembayaran sebanyak 36 sen sesaham, yang menjadikan jumlah dividennya kepada 54 sen sesaham pada FY24, peningkatan lima sen daripada tahun sebelumnya.- DagangNews.com