KUALA LUMPUR 30 Ogos - Keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia boleh melebihi 5% berikutan pertumbuhan memberangsangkan sebanyak 5.1% pada separuh pertama 2024, kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Hong Leong Bank Bhd, Kevin Lam.
"Ada kemungkinan pertumbuhan mungkin melebihi 5% bagi kalendar tahun ini. Jadi kami agak positif pada KDNK pada masa ini.
"Pertumbuhan akan terus disokong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan apabila pasaran buruh terus bertambah baik, manakala pemulihan lanjutan dalam permintaan global memberikan dorongan tambahan," ulas beliau.
Lam berkata, risiko peningkatan potensi limpahan daripada peningkatan teknologi global dan pelaksanaan projek yang lebih pantas, berkemungkinan akan mengurangkan risiko penurunan akibat ketidaktentuan geopolitik berlarutan dan risiko kelembapan di China.
Bank itu bagaimanapun mengekalkan unjuran pertumbuhan KDNKnya antara 4% hingga 5% tahun ini.
Mengenai ringgit, beliau berkata, mata wang itu dijangka diniagakan pada 4.40 berbanding dolar AS menjelang akhir tahun ini.
"Kami sebenarnya telah mengekalkan pandangan untuk sementara waktu apabila ringgit masih melebihi 4.50 dan kini ia telah melepasi kira-kira 4.30.
"Kami berpegang pada pandangan bahawa ringgit mungkin masih berada di sekitar paras 4.40 pada akhir tahun ini," ujarnya.
Sebagai unjuran ringgit bagi 2025, Lam berkata, ia akan menjadi sedikit lebih sukar. Oleh itu, bank akan menghasilkan pandangan baharu untuk tahun depan.
Beliau berkata ia akan bergantung kepada kadar pemotongan faedah AS yang akan diumumkan pada September.- DagangNews.com