Hong Leong Islamic Bank rangkul Anugerah Kecemerlangan GIFA 2023 di Senegal | DagangNews Skip to main content

Hong Leong Islamic Bank rangkul Anugerah Kecemerlangan GIFA 2023 di Senegal

Dafinah Ahmed Hilmi
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 25 Sept - Hong Leong Islamic Bank merangkul Anugerah Kecemerlangan GIFA (Perbankan Islam) sempena Global Islamic Finance Awards (GIFA) ke-11 2023 yang diadakan di Senegal.

 

Ketua Pegawai Eksekutif HLISB, Dafinah Ahmed Hilmi berkata, pihaknya berbesar hati menerima anugerah berprestij itu yang membuktikan komitmen menyokong pelanggan dalam bidang keusahawanan, perbankan komuniti dan rangkuman kewangan di seluruh sektor perbankan Islam. 

 

"Di HLISB, kami komited untuk menjadi rakan kongsi dipercayai kepada pelanggan, serta menjadi pengantara kewangan berkesan yang berusaha meneroka perkembangan terkini untuk memastikan kami kekal sebagai peneraju pasaran dalam pengurusan kekayaan Islam, sektor halal dan pengantaraan pelaburan. 

 

"Sejajar dengan janji kami untuk mengetengahkan keperluan pelanggan, kami ingin terus menyediakan produk dan perkhidmatan kewangan memenuhi keperluan khusus dan gaya hidup pelanggan, dalam hasrat kami menjadikan perbankan Islam lebih mudah diakses, inovatif dan mampan untuk semua," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

 

Dalam usaha mengembangkan inisiatif pengantaraan berasaskan nilai sepanjang tahun lalu, HLISB melancarkan satu inisiatif dengan kerjasama SURI, sebuah perusahaan sosial yang memperkasakan golongan ibu yang berpendapatan rendah dengan peluang keusahawanan. 

 

Kerjasama ini melibatkan HLISB dan SURI mendidik 20 ibu tunggal daripada komuniti B40 dengan latihan jahitan intensif dan pembangunan produk selama 3 bulan, dengan tumpuan menggunakan bahan kitar semula. 

 

Melalui inisiatif ini yang membantu ibu tunggal berpendapatan rendah, pihak bank berharap dapat memupuk rangkuman kewangan dan meringankan beban kewangan masyarakat, secara langsung memposisikan mereka di atas landasan ke arah mencapai kebebasan kewangan.

 

 

hlb

 

 

Selaras dengan memperluaskan lagi tawaran VBI mereka, HLISB juga melancarkan program kewangan sosial 'HLB Jumpstart - Perniagaan Mikro" pada tahun lepas. 

 

Program ini bertujuan untuk membantu perniagaan mikro dan usahawan yang kurang mendapat perkhidmatan membina perniagaan yang berjaya dengan menyediakan peluang perkembangan, sumber industri, dan akses kepada pembiayaan modal. 

 

Usahawan diberi akses kepada bimbingan dan bantuan daripada profesional industri, peluang membina rangkaian, alat pendigitalan, dan sokongan penjenamaan dan pemasaran. 

 

Program ini adalah usaha bank untuk memperkasakan perniagaan mikro dan usahawan untuk membina dan mengembangkan perniagaan mereka, serta menjana perubahan dalam komuniti mereka.

 

Selain itu, inisiatif HLB@Kampung, yang mana bank membantu menyepadukan ekosistem kewangan digital di bandar-bandar kecil di seluruh negara, melengkapkan perniagaan tempatan dengan kemudahan perbankan digital dan memperkasakan mereka menerima pembayaran tanpa tunai dan mengembangkan keupayaan mereka.  - DagangNews.com