Hong Seng ambil alih 51% kepentingan ekuiti dalam Innov8tif dengan nilai RM30.85 juta | DagangNews Skip to main content

Hong Seng ambil alih 51% kepentingan ekuiti dalam Innov8tif dengan nilai RM30.85 juta

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 31 Jan - Hong Seng Consolidated Berhad berhasrat untuk memperkasakan Malaysia sebagai sebuah negara digital dengan pengambilalihan 51% kepentingan ekuiti dalam Innov8tif Holdings Sdn. Bhd. yang kini memiliki Innov8tif Solutions Sdn. Bhd. dan Xendity Sdn. Bhd. dengan jumlah pertimbangan RM30.85 juta.

 

Innovative Holdings Group umumnya terlibat dalam perkhidmatan berkaitan orientasi digital dan pengesahan identiti (IDV) serta perniagaan yang khusus dalam teknologi IDV bagi menyokong proses e-KYC dan anti-penipuan dan penyelesaian pengesahan biometrik mudah alih dengan kehadiran dalam pasaran Malaysia, Singapura, Indonesia, Thailand, Filipina dan Kemboja. 

 

Segmen pelanggan utama yang disediakan oleh Innov8tif adalah telekomunikasi, perbankan, perkhidmatan kewangan, insurans, firma pelaburan dan kerajaan.

 

Pengarah Eksekutif Hong Seng, Lester Chin berkata, pengambilalihan itu merupakan langkah menyatukan kedua-dua Innov8tif Solutions Group dan Xendity.

 

Katanya, sebelum ini, masing-masing mempunyai operasi sendiri dan pangkalan pelanggan yang memberi perkhidmatan kepada industri yang berbeza secara selari.

 

"Innovative Holdings kini menggabungkan dan mempertingkatkan keupayaan, sumber dan pengalaman kedua-dua syarikat yang akan meningkatkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam tawaran perkhidmatannya dengan sokongan daripada rakan kongsi strategik kami," katanya.

 

Beliau berkata, penyelesaian DNA yang terpakai di seluruh industri akan memudahkan penukaran dan pengesahan ID digital yang lancar dengan menghubungkan sektor awam dan swasta bersama-sama ke arah negara digital. 

 

Katanya, menerusi DNA, semua proses pengesahan merentas agensi dan jabatan seperti Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Imigresen Malaysia, Bank Negara Malaysia, bank digital, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan perkhidmatan lain.

 

"Ini adalah selaras dengan inisiatif MyDIGITAL yang mencerminkan aspirasi kerajaan untuk mengubah Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi yang memberi tumpuan kepada pendigitalan dan merupakan perintis serantau dalam ekonomi digital," katanya.

 

Berikutan matlamat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pelaburan Asia Tenggara, Lester menambah bahawa Hong Seng telah mengadakan sesi perundingan dengan jabatan kerajaan yang berkaitan mengenai pelaksanaan suite digital sejagat dan maklum balas setakat ini adalah positif. 

 

Oleh itu, kumpulan akan membentangkan cadangan penuhnya kepada kerajaan apabila ia telah menyatukan perniagaan Innov8tif dan Xendity. - DagangNews.com