Hong Seng batal rancangan pajakan tanah bernilai RM8.5 juta selama 20 tahun daripada Penang Port | DagangNews Skip to main content

Hong Seng batal rancangan pajakan tanah bernilai RM8.5 juta selama 20 tahun daripada Penang Port

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 12 Sept - Hong Seng Consolidated Berhad membatalkan rancangan untuk memajak sebahagian daripada tanah perindustrian di Terminal Kargo Pukal Prai, Pulau Pinang daripada Penang Port Sdn. Bhd. (PPSB). 

 

Berkeluasan 1.21 hektar, pajakan itu adalah untuk tempoh 20 tahun dengan jumlah bayaran sewa RM8.53 juta.

 

Bagaimanapun, kumpulan itu berkata, mereka telah mencapai persetujuan untuk menamatkan pajakan kecil tanah itu dengan PPSB, yang dirancang untuk projek perkhidmatan logistik bersepadu, memandangkan kumpulan itu sedang dalam rundingan semula dengan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) mengenai penggunaan alternatif tanah dan/atau semakan terma perjanjian.

 

Ini susulan keputusan untuk menggantung cadangan pembangunan kilang pembuatan lateks butadiena nitril (NBL) di Kedah Rubber City (KRC).
 

Hong Seng berkata, anak syarikat milik penuhnya Hong Seng Industries Sdn. Bhd. (HS Industries) berhasrat untuk membina dan mengendalikan kilang pembuatan NBL di Kedah Rubber City. 

 

Anak syarikat milik penuh Hong Seng, HS Petchem Logistics Sdn. Bhd. telah merancang untuk membina kemudahan tangki simpanan bahan mentah seperti butadin dan petrokimia akrilonitril serta menyediakan perkhidmatan logistik bagi membekalkan bahan mentah kepada pengilang NBL.

 

“Bagaimanapun, kumpulan telah membuat keputusan untuk menggantung pembangunan projek KRC NBL atas pelbagai faktor termasuk keperluan projek, keperluan pembiayaan dan faktor luaran di luar kawalan kumpulan, seperti sentimen pasaran yang lemah semasa berkaitan industri sarung tangan, modal meningkatkan keperluan dan aliran masuk pelaburan swasta dan asing.

 

"Langkah strategik ini diambil selepas mempertimbangkan cabaran kewangan, ketidaktentuan pasaran, pengurangan risiko dan peluang berpotensi dan dengan objektif untuk meminimumkan kos selanjutnya, memastikan kestabilan kewangan dan memperuntukkan semula sumber untuk meneroka prospek pertumbuhan alternatif, sambil memaksimumkan nilai keseluruhan pemegang saham," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Bagaimanapun, Hong Seng kini sedang berunding semula dengan NCIA mengenai terma awal perjanjian berhubung projek NBL KRC serta bagi meneroka penggunaan alternatif tanah itu.

 

"Kumpulan itu masih dalam rundingan semula dengan NCIA mengenai penggunaan alternatif tanah dan/atau semakan terma perjanjian.

 

"Pengumuman lanjut mengenai hasil perbincangan dengan NCIA mengenai penggunaan alternatif tanah dan/atau semakan mengenai syarat perjanjian akan dibuat dalam masa terdekat," katanya. - DagangNews.com