Hospital Antarabangsa Kuala Lumpur bakal dibina dengan pelaburan RM860 juta | DagangNews Skip to main content

Hospital Antarabangsa Kuala Lumpur bakal dibina dengan pelaburan RM860 juta

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 22 Feb - Sebuah hospital swasta, Hospital Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIH), akan dibina di KL Wellness City dengan cadangan pelaburan RM860 juta.

 

Di dalam satu kenyataan bersama semalam, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan KL Wellness City berkata, hospital itu dijadualkan mula beroperasi pada suku pertama 2026 yang bakal mewujudkan lebih 3,000 peluang pekerjaan.

 

Hospital 624 katil itu, dengan potensi pengembangan kepada 1,000 katil, akan menawarkan ekosistem perkhidmatan penjagaan kesihatan yang menyeluruh dan bersepadu termasuk kemudahan kesihatan dan kecergasan.

 

Ia akan dilengkapi teknologi canggih dan peralatan perubatan terkini seperti 22 dewan bedah (OT), termasuk Angio Hibrid dan pengimejan resonans magnetik (MRI) OT dan pembedahan robotik.

 

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Arham Abdul Rahman berkata, projek tersebut akan membawa manfaat ekonomi kepada negara dari segi mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti tinggi, di mana 95% daripadanya disediakan untuk rakyat Malaysia.

 

 

Arham Abdul Rahman
Datuk Arham Abdul Rahman

 

 

“Ini termasuk 460 pakar perubatan dan doktor, 1,972 jururawat dan 278 profesional kesihatan bersekutu seperti ahli fisioterapi, radiografer, ahli teknologi perubatan, ahli farmasi dan juruteknik serta meningkatkan bekalan untuk penjagaan kesihatan dan kepakaran perubatan yang berkualiti,” katanya. 

 

Arham menambah, projek tersebut bakal menjadikan Malaysia hab pelancongan perubatan di rantau ini.

 

Beliau berkata, kerajaan melalui MIDA telah menyediakan insentif untuk sektor penjagaan kesihatan, termasuk potongan cukai dan sokongan untuk hospital terpilih, bagi menjadikannya lebih berdaya saing di peringkat serantau dan menarik minat pelabur.

 

Sehingga kini, MIDA telah meluluskan insentif kepada 86 kemudahan penjagaan kesihatan swasta dengan jumlah pelaburan RM11.2 bilion, mewujudkan lebih 18,000 peluang pekerjaan. -DagangNews.com