Hospital Pakar KPJ Ipoh buka pusat informasi di Cameron Highlands mudahkan urusan pesakit  | DagangNews Skip to main content

Hospital Pakar KPJ Ipoh buka pusat informasi di Cameron Highlands mudahkan urusan pesakit 

Pusat Informasi KPJ Ipoh berfungsi menyediakan bantuan kepada pesakit di Cameron Highlands termasuk temu janji perubatan.
oleh ZAKI SALLEH

CAMERON HIGHLANDS 15 Dis - Hospital Pakar KPJ Ipoh (KPJ Ipoh) membuka sebuah pusat informasi di Cameron Highlands sebagai hab bagi memudahkan urusan para pesakit dari kawasan tersebut.

 

Pusat ini berfungsi menyediakan bantuan kepada pesakit termasuk menyeleraskan temu janji perubatan dan pemeriksaan kesihatan.

 

Ini termasuk mengaturkan urusan perjalanan pesakit termasuk penginapan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Wilayah (Utara) KPJ Healthcare Berhad, Roslan Ahmad berkata, pembukaan pusat itu selaras dengan komitmen untuk memenuhi keperluan masyarakat yang semakin meningkat.


 

Ketua Pegawai Eksekutif Wilayah (Utara) KPJ Healthcare Berhad, Roslan Ahmad
ROSLAN AHMAD

 


“Kami mendapati terdapat jurang pasaran yang ketara di Cameron Highlands dan pada masa sama peningkatan trend pesakit yang datang dari sini. 

 

"Kami memahami kekangan yang pesakit atau pelanggan ini perlu lalui untuk mendapatkan rawatan di KPJ Ipoh.

 

"Sehubungan itu, kami berharap pusat informasi ini akan dapat membantu penduduk setempat mendapatkan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti," ujarnya selepas merasmikan pembukaan pusat itu semalam.

 

Hadir sama Setiausaha Majlis Daerah Cameron Highlands, Mazlan Mohamed Isa dan Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pakar KPJ Ipoh, Yusmah Salleh.


 

kpj ipoh

 

kpj ipoh
Roslan Ahmad (tiga dari kanan) semasa merasmikan pembukaan Pusat Informasi KPJ Ipoh di Cameron Highlands pada 14 Disember 2022.

 


Terletak di Jalan Palas Horizon, Kea Farm, pusat ini akan menyediakan maklumat terkini mengenai rawatan yang ditawarkan KPJ Ipoh.

 

Ini memudahkan pesakit menerima penjagaan kesihatan berkualiti memandangkan terdapat kekurangan perkhidmatan penjagaan kesihatan swasta di kawasan tanah tinggi itu.

 

Pusat informasi ini dibuka setiap Isnin hingga Jumaat dari pukul 9 pagi hingga 5 petang dan ditutup pada hari Sabtu, Ahad serta cuti umum. - DagangNews.com