Hospital Seri Botani bernilai RM110 juta pelengkap pembangunan Bandar Seri Botani  | DagangNews Skip to main content

Hospital Seri Botani bernilai RM110 juta pelengkap pembangunan Bandar Seri Botani 

Hospital Seri Botani bernilai RM110 juta, merupakan hospital swasta ketujuh di Ipoh.
oleh ZAKI SALLEH

IPOH 7 Mac - Pembukaan Hospital Seri Botani dengan pelaburan sebanyak RM110 juta, yang juga merupakan hospital swasta ketujuh di Ipoh menyediakan satu lagi kemudahan kesihatan terbaik buat warga bandar raya ini.

 

Terletak di lokasi strategik iaitu Bandar Seri Botani (BSB), ia memberi akses kesihatan kepada penduduk di selatan Ipoh selain kawasan Simpang Pulai, Gopeng, Seri Iskandar, Pengkalan, Lahat dan Menglembu.

 

BSB merupakan sebuah kawasan kejiranan terancang yang dibangunkan oleh pemaju hartanah, Taiko Group bermula 2004 dengan pelbagai kemudahan sedia ada termasuk sekolah antarabangsa.

 

Bangunan hospital tujuh tingkat dimiliki Pinji Hospital Sdn. Bhd. yang juga subsidiari kepada Taiko Group ini adalah sebahagian daripada pelan pembangunan BSB.

 

BSB ketika ini mempunyai kira-kira 20,000 penduduk.

 

 

Ng Chee Hoong
                    Ng Chee Hoong

 


Ketua Pegawai Operasi HSB, Ng Chee Hoong berkata, HSB meletakkan komitmen dengan menyediakan penjagaan pesakit yang profesional, beretika dan cemerlang serta kompetitif.

 

“Kami berusaha untuk meningkatkan kesihatan komuniti kami dengan menggabungkan dan memanfaatkan kekuatan sedia ada.

 

"Antaranya dalam penjagaan klinikal, pendidikan berterusan dan membawa masuk teknologi terkini untuk menyampaikan kualiti dan nilai” katanya.

 

Sejak memulakan operasi pada Februari lalu, hospital swasta dengan kapasiti 150 katil itu telah menerima kemasukan seramai 634 pesakit.


 

seri botani
Antara kemudahan rawatan yang terdapat di hospital ini.

 


Daripada jumlah tersebut, seramai 154 adalah pesakit luar manakala bakinya adalah pesakit yang dimasukkan wad.

 

Jelas Chee Hong, ketika ini HSB mempunyai 12 orang doktor perunding dan jumlah tersebut akan bertambah dalam beberapa bulan akan datang.

 

Katanya lagi, kepakaran tersebut merangkumi bidang rawatan anestesia hingga radiologi dalam multidisiplin.


 

seri botani
Satu daripada wad pesakit di Hospital Seri Botani.

 


"Dalam masa sama, HSB juga akan menambah kelengkapan termasuklah bagi rawatan mammogram, makmal kateterisasi jantung dan pusat pemulihan," ujarnya. - DagangNews.com