IPOH 30 Ogos - Hotel berstatus tiga bintang, Cititel Express Ipoh yang terletak di tengah-tengah bandar raya ini dibuka semula selepas melalui proses pengubahsuaian pada Jun 2023 lalu.
Pengubahsuaian dibuat untuk meningkatkan pengalaman tetamu selaras dengan visi hotel tersebut.
Pengurus Hotel Cititel Express Ipoh, Masyitah Dato' Muhamed Noor Husen berkata, wajah baharu itu menampilkan gabungan konsep moden kontemporari dan reka bentuk fungsional.
“Bilik-bilik diubahsuai dengan ruang yang luas dan mewah untuk memenuhi keperluan tetamu yang mencari keselesaan dan kemudahan.
“Keunikan Cititel Express Ipoh kerana mempunyai pemandangan panoramik bandar raya Ipoh, Sungai Kinta, Padang Ipoh yang dikelilingi dengan gunung-ganang.
"Padang Ipoh juga merupakan lokasi bersejarah dan menjadi tumpuan orang ramai termasuk pelancong,” katanya di sini.
Beliau berkata demikian pada majlis pembukaan semula Hotel Cititel Express Ipoh.
Menurutnya lagi, pengubahsuaian pada tingkat 12 bangunan itu menyaksikan sebanyak 21 bilik telah dijadikan ruang pelbagai fungsi.
“Tingkat ini menempatkan kaunter penerimaan tetamu, sebuah kafe, lounge dan dua bilik mesyuarat serba guna.
“Tambah istimewa kita mempunyai Padang Terrace Coffee House yang berdindingkan panel kaca membolehkan tetamu menikmati pemandangan bandar raya Ipoh yang mempesona.
“Ini juga menjadi tempat kesukaan tetamu khususnya untuk melihat panorama sewaktu matahari terbenam,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Besar Kanan IGB Bhd, Estee Tan Siok Thieng berkata, sempena Tahun Melawat Perak 2024, Cititel Express Ipoh turut memperkenalkan promosi istimewa.
“Ini termasuklah pakej khas dalam Pelancongan Kereta Api dan Pelancongan Perubatan yang dirangka bersama KTMB dan KPJ Specialist Hospital.
“Kami juga komited terhadap kelestarian dengan memperkenalkan amalan mesra alam seperti penggunaan kod QR dan sistem penapis air.
“Seluruh kawasan hotel juga menjadi kawasan larangan merokok demi keselesaan tetamu,” ujarnya. - DagangNews.com