HSBC Amanah keluarkan laporan TCFD, inisiatif analisis risiko berkaitan iklim kepada perniagaan | DagangNews Skip to main content

HSBC Amanah keluarkan laporan TCFD, inisiatif analisis risiko berkaitan iklim kepada perniagaan

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Julai - HSBC Amanah Malaysia Berhad mengeluarkan laporan kedua mengenai Pendedahan Kewangan Berkaitan Iklim (TCFD) sebagai sebahagian daripada inisiatif dan pendekatannya ke arah menganalisis risiko berkaitan iklim perniagaan dan operasinya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif HSBC Amanah, Raja Amir Raja Azwa berkata, perubahan iklim memberikan risiko dan peluang untuk perniagaan serta individu dan dengan peningkatan kesedaran tentang perubahan iklim, ketelusan selain pendedahan risiko berkaitan merupakan langkah utama ke arah menangani jurang data.

 

"Menerusi laporan TCFD kedua yang dibuat, kami mendedahkan kemajuan yang dicapai dan menyerlahkan inisiatif selain pendekatan yang akan diambil terutamanya dalam memahami serta menganalisis risiko berkaitan iklim perniagaan dan operasi kami.

 

"Kami juga akan mengambil pendekatan secara berperingkat untuk menyelaraskan sepenuhnya cadangan TCFD dalam beberapa bidang seperti pelepasan dibiayai, keupayaan pengurusan risiko iklim dan strategi nyahkarbon kami," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Strategi berkaitan iklim HSBC Amanah adalah sebahagian daripada komitmen yang lebih luas terhadap kemampanan yang sejajar dengan cita-cita kumpulan untuk menjadi bank sifar bersih.

 

Raja Amir berkata, pihak bank mengiktiraf keperluan drastik dan tindakan jangka panjang untuk melindungi masyarakat, perniagaan dan persekitaran semula jadi daripada kesan yang merosakkan perubahan iklim.

 

hsbc
Raja Amir Raja Azwa 

 

"Keupayaan kami untuk mengemudi kewangan untuk transformasi perniagaan dan infrastruktur akan menjadi kunci dalam membantu mempercepatkan peralihan kepada ekonomi global sifar bersih,” katanya.

 

Di peringkat global, Kumpulan HSBC memperhebatkan sokongannya kepada pelanggan dalam peralihan mereka kepada sifar bersih.

 

HSBC menyasarkan untuk menyediakan antara pembiayaan dan pelaburan antara AS$750 bilion (RM3.34 trilion) hingga AS$1 trilion (RM4.46 trilion) menjelang 2030. - DagangNews.com