Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]
KUALA LUMPUR 5 Jan - HSBC mengumumkan telah beralih kepada model kerja hibrid selaras dengan perpindahan bank tersebut ke ibu pejabat baharunya di Menara IQ, Tun Razak Exchange (TRX) dan komitmennya terhadap model Masa Depan Kerja (FOW).
Ketua Negara Sumber Manusia, HSBC Malaysia, Sugunah Verumandy berkata, dengan melaksanakan model kerja hibrid, HSBC menyasarkan untuk menggalakkan kesihatan dan kesejahteraan yang lebih baik dalam kalangan warganya.
Katanya, gaya kerja fleksibel baharu juga akan menyaksikan peningkatan produktiviti apabila penglibatan antara pasukan dan pelanggan menjadi lebih bertujuan.
"Cara kita bekerja hari ini berbeza dengan masa lalu. Ramai orang kita berasa lebih produktif di rumah seperti di pejabat sepanjang tempoh penularan pandemik ini, tetapi ada juga yang memberitahu kami bahawa mereka sering bekerja lebih lama dan terlepas interaksi manusia.
"Belajar daripada ini, kami secara berterusan dan proaktif membentuk cara kami bekerja.
"Kerja hibrid bukan sahaja mengenai tempat kita bekerja, ia tentang bagaimana dan bila kita bekerja. Kami mencipta budaya yang membolehkan kami menjadi yang terbaik dan memberikan hasil yang luar biasa untuk pelanggan kami; budaya yang menggalakkan fleksibiliti, kerjasama, pembelajaran dan kesejahteraan dalam kedua-dua tempat kerja fizikal dan maya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, model kerja hibrid adalah sebahagian daripada inisiatif global untuk meningkatkan kesejahteraan, menyediakan lebih fleksibiliti dan juga untuk mengurangkan jejak pejabat global sebanyak lebih daripada 3.6 juta kaki persegi-atau sekitar 20% menjelang akhir tahun 2021.
Di Malaysia sahaja, HSBC telah melabur lebih RM1 bilion ke dalam Menara IQ di TRX sebagai sebahagian daripada komitmennya untuk meningkatkan tumpuan pada fleksibiliti kerja, menyediakan persekitaran kerja moden yang sesuai untuk tujuan, dan menyepadukan piawaian tertinggi bagi kelestarian alam sekitar.
Untuk memudahkan peralihan kepada model kerja hibrid untuk kakitangannya, HSBC juga telah memastikan bahawa pasukannya telah menjalani perjalanan pengurusan perubahan FOW, menyediakan pekerja dengan bayaran balik tunai sekali kepada semua pekerja yang layak untuk pembelian peralatan pejabat dan memastikan mereka mempunyai infrastruktur IT dan keselamatan yang diperlukan untuk menyokong pengaturan kerja dari rumah berskala besar.
Kumpulan fokus juga berterusan supaya HSBC dapat terus menangani keperluan kakitangannya dan menjadikan kerja hibrid dan fleksibel lebih mampan. - DagangNews.com